Tuntut royalti: Kelantan tidak ikut rentak Umno

Salmah Mat Husain
KOTA BHARU, 11 Jan:
Kerajaan Kelantan tidak melatah untuk menyaman kerajaan pusat dalam tempoh terdekat ini bagi menuntut royalti minyak.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, masih ada langkah lain yang boleh dilakukan termasuk rundingan bagi mendapatkan royalti.

“Tuntutan dan perbicangan kita baru bermula, kalau diibaratkan seperti bermain bola sepak, baru memakan masa 15 minit, jadi tak perlulah desak kita supaya kemukakan saman,” katanya pada persidangan media di sini, hari ini.

Sebelum ini ada pemimpin Umno termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin mencabar kerajaan negeri membawa isu tuntutan royalti ke mahkamah.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, pemimpin Umno tidak perlu mendesak kerajaan negeri membawa kes terbabit ke mahkamah.

Beliau juga berkata, usaha yang diperjuangkan kerajaan Kelantan kini semakin membuahkan hasil sehingga pemimpin Umno tidak lagi tenteram.

“Apa lagi sekiranya sebahagian rekod lama berupa keratan akhbar kenyataan pemimpin BN sejak tahun 1993 telah dijumpai untuk didedahkan.

“Kenyataan itu antara lain menyebut Kelantan akan mendapat royalti gas dan minyak pada masa akan datang. Ia disebut bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhamad Yaacob,” ujarnya.

Kenyataan media itu disebut sejak tahun 1983 dan terakhir pada 1989.

Husam juga berkata, Kelantan akan mencari kaedah-kaedah bagi membolehkan Petronas menimbang semula kedudukan beberapa telaga yang didapati bertindih di antara perairan Kelantan dan Terengganu.

Tambahnya pengeluaran dari beberapa telaga di situ perlu ditentukan semula antaranya telaga Bintang.

Menurutnya royalti yang telah dibayar kerajaan pusat sebanyak RM9.7 bilion bermula pada 1984.

“Memandangkan pengeluaran baru bermula pada suku kedua 2008, kita mengganggarkan tunggakan bagi tempoh dua tahun tersebut ialah RM75 juta bagi medan bumi Kelantan,” ujarnya.

Husam berkata, beliau telah menyampaikan hasrat kerajaan negeri kepada Petronas bagi pembayaran di bumi selatan dan bukan dalam bentuk wang ihsan.

Katanya, jualan tahunan berdasar harga sekarang di bumi selatan dijangka diperolehi sebanyak RM50 juta setahun.

Menurutnya juga pada pertemuan dengan Petronas kerajaan negeri menjelaskan apa yang berlaku, di samping beberapa tuntutan yang dibuat berdasarkan hak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan