Umno makin jelas, bukan lagi penyelamat Melayu

Idris Samad
UMNO sudah semakin tua dari segi usianya. Namun, dari segi perangai atau disebut fiil, Umno tidak pernah berlagak seperti orang tua yang penuh
ilmu dan pengalaman. Malahan, tindak-tanduk Umno betul-betul merugikan Melayu.

Dalam banyak-banyak hal, satu perkara serius yang orang Melayu perlu renung secara mendalam ialah langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ketika menjadi Presiden Umno merubah sistem pelajar-pelajar Melayu ke universiti dari sistem kuota ke meritokrasi.

Dari data muktahir yang dikutip, jelas bilangan pelajar Melayu yang berada di fakulti tertentu termasuk perubatan dan undang-undang, merosot teruk tetapi tiada siapa pun di antara pemimpin Umno, khususnya Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno yang sanggup untuk menyuarakannya.


Jika dulu, Umno boleh mengharapkan Pergerakan Pemuda untuk menjadi juara dalam memperjuangkan hal-hal seumpama ini tetapi disebabkan yang merubah sistem kuota kepada meritokrasi itu ialah Dr. Mahathir, maka di kalangan Pemuda Umno, terkancing mulut masing-masing.

Kerana apa jadi begitu? Adakah kerana permusuhan Dr. Mahathir-Khairy Jamaluddin yang tidak berkesudahan menyebabkan Khairy Jamaluddin tidak mahu memulakan sesuatu serangan terhadap dasar ini?

Dulu, ketika Dr. Mahathir memulakan PPSMI, semua menteri kabinetnya bersetuju dengan apa yang mahu dimulakan itu tetapi apabila Dr. Mahathir sudah berundur dan memilih untuk menjadi pengkritik kepada dasar-dasar kerajaan, bukan main susah tindakan memansuhkan PPSMI mahu dilaksanakan.

Siapa yang menjadi mangsa apabila PPSMI ini ternyata gagal?
Bukankah anak-anak Melayu, khususnya yang di luar bandar kerana kemudahan peralatan mengajar tidak sempurna seperti yang dicanangkan.

Dr. Mahathir bukan berseorangan melakukan perkara ini. Walaupun dia Perdana Menteri dan Presiden Umno, tetapi dia mempunyai pasukannya. Ada Majlis Tertinggi Umno dan ada anggota kabinet.

Malangnya, kesemuanya menikus dan yang menjadi mangsa selama ini ialah orang-orang Melayu walaupun ada sekerat dua yang berjaya menjadi jutawan termasuklah yang akhirnya terpaksa ke mahkamah kerana masalah rasuah dan penyelewengan.

Begitu juga dengan biasiswa yang kini sudah dikenali dengan skim PTPTN – satu bentuk pinjaman pelajaran yang perlu dibayar, selain pinjaman dari MARA dan sebagainya.

Akhirnya anak-anak Melayu, khususnya graduan tidak bebas selepas habis belajar hanya kerana mereka berhutang, termasuk tidak boleh ke luar negara.

Apakah kita masih ingat bagaimana Dr. Mahathir tidak mahu orang-orang Melayu diberikan tongkat kerana bimbang Melayu akan menjadi bangsa terhina seperti Red Indian?

Hari ini, pemimpin-pemimpin Umno boleh melihat sendiri bagaimana mereka sudah mengurangkan tanah-tanah rezab Melayu dengan alasan pembangunan?

Maka, apa lagi yang mahu diharapkan kepada Umno selepas ini?
Walaupun pemimpin silih berganti, tetapi mereka tidak mempunyai semangat untuk kembali membantu Melayu. Yang mereka ada ialah kata-kata yang mengambarkan Melayu terancam kerana perpecahan tetapi mereka juga terlibat dengan perpecahan itu.

Terbaru, orang-orang Umno (baca: Melayu) dihambat dengan hutang TEKUN. Dulu, ada cerita sesiapa yang memerlukan bantuan TEKUN perlu mengisi borang Umno. Sekurang-kurangnnya, perlu sokongan pemimpin Umno. Dengan lain perkataan, mesti ahli Umno barulah dapat sokongan dan pinjaman diluluskan.

Kini, semua mereka ini, yang suatu ketika ghairah mendapatkan pinjaman TEKUN, sudah dihambat dengan surat menangis dari TEKUN.
Percayalah, selepas ini kesemua peminjam yang gagal membayar balik pinjaman TEKUN ini akan dihina dengan kata-kata yang menguris perasaan.

Sebenarnya, tindakan para pemimpin Umno hanyalah untuk populariti jangka pendek. Perancangan jangka panjang untuk membela bangsa Melayu, jauh sama sekali. Mereka tidak mahu mengikut pepatah Cina, beri ikan kepada seseorang, akan dimakannya ikan itu tetapi jika beri pancing kepada seseorang, ia akan menyebabkan orang itu berusaha mencari rezeki.

Apa lagi yang Umno mahu lakukan selepas ini? Berbanggakah ahli-ahlinya kerana mempunyai KLIA, Menara Berkembar Tertinggi, Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya dan beberapa bangunan mega?
Dalam masa yang sama, masih ada keluarga di sudut kampung yang makan sekali sehari dan dinafikan dengan bekalan air bersih?

Hari ini, kebanjiran buruh asing ke Malaysia perbuatan siapa? Siapa yang menjadi Menteri Dalam Negeri selama ini yang mempunyai kuasa membenarkan seramai mana pun orang asing memijak dan mencari rezeki di bumi Malaysia?

Apabila semakin ramai orang asing di bumi Malaysia, pihak berkuasa tidak berkemampuan untuk mengawal mereka. Terjadilah macam-macam gejala social termasuk ada yang membawa anak gadis Melayu lari ke negara mereka.

Tampillah seorang dua anggota Pemuda Umno pergi menjemput mereka pulang. Sewaktu mereka melarikan diri, mereka adalah anak-anak gadis sunti tetapi selepas ditemui, mereka adalah ibu kepada beberapa orang anak dan isteri kepada lelaki asing.

Sibuklah wartawan dan media arus perdana menyiarkan berita tersebut kononnya Umno membela nasih perempuan-perempuan Melayu ini tetapi mana mungkin kita lupa siapakah yang menyebabkan anak-anak gadis Melayu yang naïf ini dilarikan ke luar negara, jika bukan pemimpin Umno?

Jika ada undang-undang yang membolehkan statistik dikeluarkan, berapakah jumlah kemasukan pendatang asing dalam era setiap seorang menteri (Umno) menjadi Menteri Dalam Negeri, supaya rakyat tahu dari tempoh si A menjadi Menteri Dalam Negeri, sekian banyak orang asing masuk ke Malaysia, dari tempoh si B pula, sekian banyak yang dibawa masuk.

Berapa komisyen yang mereka kutip, tidak perlulah ditanya kerana ia mungkin menyukarkan SPRM tetapi ini adalah bukti bahawa Umno bukan lagi boleh digambarkan sebagai penyelamat Melayu di Malaysia ini tetapi Umno sudah boleh dikaitkan sebagai mengkhianati Melayu.

Orang Melayu bukan sahaja tidak mampu bersaing dengan kaum Cina dan India di Malaysia tetapi angkara mereka yang berkuasa kerana Umno memerintah negara, kini terpaksa bersaing pula dengan orang-orang Indonesia yang semakin ramai berniaga, orang Myanmar, India, Pakistan, Nepal, Thailand, Combodia dan banyak lagi pendatang termasuk dari Afrika dan Singapura – malahan kehidupan orang-orang Melayu kini semakin terancam.

Ikutilah perkembangan ini secara halus kerana jika kita menangis kerana membaca tragedi Natrah di Singapura suatu ketika dahulu, kini sudah semakin ramai yang menjadi Natrah kerana Umno sibuk untuk mengekalkan kuasa, mengumpul kekayaan luar biasa dan menyampaikan ucapan berapi-api kononnya mereka sahaja pejuang bangsa tetapi orang lain, sudah menjajah kita angkara Umno.

Dapatkah Umno memperjuangkan nasib peniaga-peniaga Melayu di Pasar Budaya (Central Market)? Berjayakah Umno meletakkan peniaga-peniaga Melayu di KLCC? Siapa yang menguasai perniagaan teras seperti pembekal dan pemborong?

Lupakah kita bahawa Amanah Saham 1Malaysia yang dikhaskan untuk Melayu melangganinya, masih belum habis terjual sedangkan yang dikhaskan kepada bangsa lain, hampir-hampir memenuhi kuota?

Umno nampak semua ini atau Umno memang tidak ada masa untuk memikirkan perkara-perkara kecil seperti ini kerana ia tidak melibatkan taikun dan korporat berjenama!

Lainlah kalau ada Melayu yang mahu menguasai bank atau IJN – barulah ada pihak yang akan melompat untuk menumpang populariti yang tidak lansung menyentuh denyut nadi rakyat di bawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan