Ali Hashim
ALOR SETAR, 19 Feb: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng agar tidak tunduk kepada mana-mana desakan yang cuba mengganggu gugat pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu.
Serangan politik terhadap negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat jelasnya adalah perkara lumrah yang harus di depani secara bijaksana.
"Ketua Menteri Pulau Pinang jangan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik di Pulau Pinang.
"Dalam politik desakan dan asakan yang bertubi-tubi itu adalah satu perkara yang lumrah.Lebih-lebih lagi daripada Umno dan BN yang menjadi pembangkang dalam negeri yang dipimpin oleh PR," katanya.
Katanya, serangan serupa juga turut berlaku di Kedah namun beliau tidak mempedulikan karenah mereka yang cuba memecahbelahkan negeri itu.
"Kita di negeri Kedah juga diasak oleh mereka (Umno dan Barisan Nasional), namun begitu kita tidak begitu peduli dengan kerenah mereka.
Behubung tindakan beberapa bekas pemimpin PKR Pulau Pinang yang mengkritik keras pentadbiran Lim, Azizan berkata beliau yakin perkara sama tidak akan menular ke Kedah.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, ianya juga tidak akan memberi apa-apa kesan negatif kepada pentadbirannya di negeri itu apatahlagi menjejaskan perpaduan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Pekan Sungei Limau, Yan semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan