Khalid gesa hukuman Dr Hasan ditambah

Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad yang digantung keahliannya selama enam bulan dalam PAS, menggesa supaya hukuman ke atas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali ditambah, bagi memperlihatkan kejujuran parti itu dalam membuat keputusan.

Khalid yang turut digantung daripada jawatan yang dipertua PAS Shah Alam dan anggota biro politik parti itu, membuat gesaan itu ketika mengumumkan tidak akan merayu terhadap keputusan jawatankuasa disiplin terhadapnya.

"Kejujuran akan terbukti jika hukuman kepada Datuk Dr Hasan Ali diperkukuh dan ditambah, barulah nampak kita jujur," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam petang ini.

khalid samad"Orang yang keluarkan kenyataan yang menjejaskan Pakatan Rakyat ini, perlu dikenakan tindakan," katanya lagi.

Sebelum ini, jawatankuasa disiplin turut mendapati Dr Hasan bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat) dan pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.

Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut hanya memutuskan memberi amaran bertulis kepada Hasan.

Mengulas lanjut, beliau berkata hubungannya dengan Dr Hasan akan menjadi lebih baik dengan sendirinya sekiranya tidak ada lagi kenyataan kontroversi dikeluarkan oleh exco Selangor itu.

"Kalau dia tidak keluarkan lagi kenyataan yang kontroversi, (hubungan dengan Dr Hasan) akan baik dengan sendirinya, jadi media pun janganlah timbulkan kontroversi," katanya, menjawab soalan wartawan.

Kebelakangan ini, tambahnya, beliau melihat Dr Hasan mengambil banyak pendirian yang pro-Pakatan.

Dr Hasan, kata Khalid, telah mengambil pendirian menyokong Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam isu melibatkan cukai tanah Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) dan juga menyokong Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam isu penganjuran perarakan Maulidur Rasul.

Sebaliknya, beliau menyalahkan pemimpin PAS yang tidak mengambil pendekatan untuk memperbaiki hubungan antara mereka berdua sebelum isu berkenaan melarat menjadi pertikaian terbuka.

"Sepatutnya jawatankuasa disiplin ketemukan kami supaya kami boleh bahas perbezaan dan selesaikan masalah ini dengan baik. Tapi tidak ada diusahakan perdamaian oleh pimpinan,” tambahnya.

Menurut Khalid lagi, usahanya untuk bersemuka dengan Dr Hasan melalui mesyuarat parti sebelum ini, juga tidak berhasil untuk mencapai persetujuan kerana masing-masing enggan mengalah.

"Kalau kita bertemu dalam mesyuarat, memang tidak ngam (baik), sebab itu lebih baik jika jawatankuasa disiplin yang aturkan pertemuan.

“Saya pun keras dan Datuk Hasan Ali juga ada pendirian sendiri," tambahnya.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan