Pemuda PR serah surat jemputan debat

Mohd Sabri Said
GEORGETOWN, 22 Feb:
Ketiga-tiga sayap Pemuda Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang berjaya menyerahkan surat jemputan menyertai 'Debat Perdana' khas isu tohmahan kononnya penganiayaan kerajaan negeri terhadap peniaga Melayu.

Surat berkenaan diserahkan ke pejabat Umno Jalan Macelister dan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP) berdekatan Dewan Undangan Negeri kecuali pejabat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kerana ditutup.

Rombongan yang diketuai Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Amir Ghazali turut disertai Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Yusni Mat Piah dan Setiausaha Pemuda Sosialis DAP negeri, Ng Wei Aik.

Yusni berkata, surat jemputan kepada Yang Dipertua DPMPP, Rizal Faris Mohideen pada pukul 10.30 pagi ini namun beliau tiada di pejabat, begitu juga Ketua Pemuda Umno negeri, Norman Zahlan juga tiada di pejabat manakala Presiden GPMS, Jais Karim dikatakan tiada di negeri ini kerana menghadiri program lain.

"Kita sudah lepas tanggungjawab kerana menjemput mereka berdebat terhadap beberapa isu yang dibangkitkan,” ujarnya.

Mereka bertiga bakal dipertemukan dengan wakil Kerajaan PR negeri dalam Debat Perdana yang dijadualkan pada 7 Mac depan di Tapak Ekspo Seberang Jaya bermula 9.00 malam.

Amir pula membidas ketiga-tiga organisasi itu supaya bersikap berani berhadapan dengan pemerintah yang dituduh menzalimi rakyat.

"Jangan tuduh sahaja sebaliknya berani turun padang dengan berbekalkan fakta yang kukuh di arena perdebatan," katanya.

Ng Wei Aik tetap mempertahankan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dan menuduh tohmahan yang dilemparkan mempunyai matlamat tertentu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan