Setelah bersemuka sendiri dengan penyokong Khalid Samad berhubung isu tindakan disiplin terhadapnya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih gagal memuaskan hati penyokong ahli parlimen Shah Alam itu.
Dalam pertemuan tertutup hanya kira-kira 20 minit pada 5 Februari lalu di Hotel Intekma Shah Alam, kelewatan Abdul Hadi lebih dua jam menyebabkan banyak soalan dan "isu-isu besar" tidak dapat diajukan kepadanya.
"Tidak puas hati itu bukannya apa, sebab masa dialog itu pendek. Kita tunggu lama tetapi akhirnya (peluang itu) berlalu begitu," kata pemangku yang dipertua (YDP) PAS Shah Alam, Azli Yusof.
PAS Shah Alam menghantar surat untuk bertemu dengan Abdul Hadi susulan keputusan mesyuaratnya pada 31 Januari yang tidak puas hati terhadap tindakan jawatankuasa disiplin parti yang menggantung jawatan Khalid.
Pada 29 Januari, pengerusi jawatankuasa itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga naib presiden parti mengumumkan, Khalid dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali bersalah, masing-masing terhadap dua pertuduhan terhadap mereka.
Ekoran itu, Khalid digantung jawatan sebagai YDP Shah Alam dan anggota biro politik manakala Dr Hasan hanya diberikan amaran bertulis. Keputusan tersebut yang dianggap berat sebelah mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk di blog.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Azli berkata tidak perlu diadakan pertemuan kedua dengan Abdul Hadi walaupun pertemuan pada Jumaat lalu gagal memuaskan hati banyak pihak.
"Kalau buat sekali lagi, jawapan (Abdul Hadi) sama juga," katanya.
Dalam pertemuan tersebut kira-kira jam 11.30 malam, hanya tiga soalan sempat diajukan kepada Abdul Hadi oleh anggota Dewan Pemuda, Dewan Muslimah dan Himpunan Penyokong PAS (HPP).
Soalan pertama berkisar tindakan PAS yang didakwanya "suka menghukum ahli berbanding menyelesaikan isu sebenar" iaitu kerajaan perpaduan dengan Umno.
Anggota dewan itu juga berkata, teguran Khalid terhadap Dr Hasan - yang menyebabkan beliau digantung - dibuat berdasarkan tindakan Dr Hasan yang dilihat lari daripada landasan Pakatan Rakyat.
Sementara soalan kedua daripada ketua Muslimat PAS Shah Alam, Zarina Dzulkifli menyentuh soal pendirian parti berhubung tahaluf siasi (kerjasama politik) bersama PKR dan DAP.
Manakala pemimpin HPP berbangsa Cina mengajukan soalan berhubung kegagalan PAS mendepani isu-isu berkaitan bukan Islam di Selangor.
Menjawab kesemua soalan itu tidak sampai sepuluh minit kepada 80 pemimpin dan ahli akar umbi PAS di Shah Alam, Abdul Hadi mempertahankan keputusan jawatankuasa disiplin yang disifatkannya sebagai tindakan "untuk mengatasi kelemahan manusia".
"Kelemahan-kelemahan manusia ini perlu ditegur dan dinasihat. Kalau ditegur, dinasihat tidak berhasil, perlu diambil tindakan untuk mendisiplinkan," katanya yang juga ahli parlimen Marang.
Abdul Hadi juga menyifatkan "tindakan yang ringan" itu sebagai ujian bagi menguji kesetiaan pemimpin terbabit kepada parti Islam terbabit.
"Saya rasa keputusan yang diambil ini sangat ringan berbanding dengan keputusan (pada tahun-tahun) yang lalu. Kalau masa dulu, pecat. (Tokoh popular PAS) Almarhum Abu Bakar Hamzah dipecat.
"Kenapa? (Beliau) dituduh mengeluarkan kenyataan akhbar yang bercanggah dengan pusat. Beliau buat kenyataan sendiri, maka jawatankuasa disiplin ambil keputusan memecatnya daripada PAS berapa tahun.
"Tetapi almarhum Abu Bakar tidak masuk Umno walaupun dipecat. Akhirnya diterima balik menjadi ahli PAS."
Presiden PAS juga menyifatkan kesalahan Khalid dan Dr Hasan hanyalah kesalahan disiplin, bukannya kesalahan maksiat.
"Cumanya adap kita berjemaah, kadang-kadang rukuk dulu (sebelum) daripada imam, sujud dulu daripada iman," kata Abdul Hadi berkias.
Menyentuh soal pembocoran rahsia parti yang dituduh terhadap Khalid, Abdul Hadi menegaskan bahawa ahli PAS mesti disiplinkan berhubung perkara itu.
"Hal yang begitu tidak boleh dibuka. Dalam kerajaan ada OSA (Akta Rahsia Rasmi), kita tidak ada undang-undang itu," katanya.
Menjawab soalan Zarina, Abdul Hadi menegaskan parti hendaklah didahulukan jika bercanggah dengan pendirian Pakatan.
"Antara dua ini, sekiranya berlawanan antara parti dan Pakatan, yang mana kita hendak dahulukan? Mesti didahulukan parti, bukan Pakatan," katanya.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan