Bashir Ishak
IPOH, 17 Feb: Lajnah Pekerja Dan Peneroka Bandar PAS Pusat membantah keras tindakan kerajaan Perak melalui Pejabat Tanah Larut Matang dan Selama yang merobohkan kawasan ladang yang telah diusahakan selama 12 tahun di Air Kuning, Perak.
Kawasan tersebut yang terletak berhampiran Taiping berada dalam Dewan Undangan Negeri Changkat Jering dalam Parlimen Bukit Gantang.
Insiden ini berlaku kira-kira 48 jam selepas Dr Zamry Abd Kadir diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah baru-baru ini.
Kawasan seluas kia-kira 15 hektar itu telah dibangunkan bersama oleh sekumpulan 10 orang pengusaha dengan tanaman sayur-sayuran, ternakan lembu dan kambing, ternakan ikan dalam kolam serta pokon buah-buahan.
"Kami membangunkan tanah tersebut yan tidak didiami bagi memenuhi hasrat kerajaan yang mahu memajukan sektor pertanian dan penternakan," kata Mohd Salleh Ariffin, jurucakap kumpulan peneroka tersebut.
Pasukan perobohan tersebut dari Pejabat Tanah Larut Matang dan Selama, dibantu Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), polis dari Taiping, JKR Taiping dan jentera dari syarikat Gamuda mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memusnahkan segala yang telah diusahakan selama 12 tahun.
"Mereka datang seolah-olah hendak menangkap penjenayah besar. Kami telah membuat permohonan untuk mendapat hak milik tanah termasuk menghantar surat ke Jabatan Perdana Menteri tetapi tidak mendapat respon sehingga kini.
"Mereka memusnahkan semuanya yang kami usahakan termasuk menebang pokok buah-buahan. Adakah ini slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"?," kata Mohd Salleh yang turut ditangkap dan digari kerana didakwa cuba menghalang kerja-kerja perobohan tersebut.
Kerugian dianggarkan sekitar RM500,000.00.
Mengulas kejadian ini, Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir melahirkan rasa dukacita, kesal dan menyampah dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Dr Zamry ke atas rakyatnya sendiri di Perak.
Katanya, tindakan meroboh dengan jentolak dengan bantuan pasukan polis dan FRU ini seolah-olah menyerupai tindakan yang diambil oleh rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestine.
"Sepatutnya pihak kerajaan perlu menggunakan kaedah perundingan untuk mendengar permasalahan rakyat dahulu. Saya juga nak ulangi apakah ini dia slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"?
"Kita membantah keras tindakan ini dan menuntut kerajaan Dr Zamry memohon maaf dengan pihak yang terbabit dan membayar ganti rugi kepada mereka.
"Kita juga menuntut kerajaan Perak tidak memandang remeh perkara ini dan tidak menjadikan ini sebagai tindakan balas dendam atau sebagainya kerana baru-baru ini mereka juga telah mengeluarkan hak milik kepada pekebun limau bali di Tambun sedangkan di sebaliknya pula ada segolongan lagi rakyat yang telah dizalimi," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan