Selesai segera isu PATI

Pemandangan yang dilihat beliau dalam kesempatan meninjau suasana di ibu kota sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, adalah pemandangan biasa yang disaksikan warga kota. Malah, mereka sebenarnya sudah lama terpaksa berkongsi kehidupan dengan warga asing yang pelbagai rupa, warna dan agama dalam hampir kebanyakan aspek kehidupan seharian.

Pengalaman bersesak-sesak dengan warga asing bagi warga kota lebih terasa ketika menggunakan pengangkutan awam terutamanya bas. Di kawasan tumpuan ramai terutamanya di pusat membeli-belah sekitar ibu kota, kumpulan warga asing itu juga bermaharajalela. Sudah banyak sebenarnya yang diperkatakan mengenai isu lambakan warga asing di negara ini.

Daripada aspek ancaman keselamatan, sosial dan kesihatan sehinggalah pelbagai sudut lain termasuk kelemahan pemantauan di peringkat kerajaan. Namun sehingga kini, tiada jalan penyelesaian konkrit yang diambil dalam membendung masalah yang semakin meresahkan warga tempatan. Acap kali apabila isu lambakan warga asing ditimbulkan, kita sering diberitahu bahawa mereka adalah pekerja sah dan dibawa masuk bagi memenuhi sektor pekerjaan yang tidak diminati oleh pekerja tempatan. Kemasukan warga asing itu juga kononnya mengikut permintaan semasa yang dalam masa sama masih memberikan keutamaan kepada pekerja tempatan.

Namun, kerajaan sebaliknya meluluskan 50,000 permit pekerjaan kepada warga Bangladesh pada 2009 ketika negara berdepan dengan krisis kegawatan ekonomi dan ramai pekerja tempatan dibuang kerja. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai kerana berlakunya ketidakselarasan dasar kerajaan dalam konteks pekerjaan.

Begitu juga apabila warga asing ini boleh dilihat di mana-mana waima di ceruk-ceruk kampung, ramai yang tertanya-tanya sektor pekerjaan apa yang diisi mereka di sana? Melihat senario ini, kita harus mengakui bahawa jumlah warga asing itu sebenarnya jauh lebih tinggi daripada sekitar dua juta orang seperti yang sering dirujuk sebelum ini. Jika dulu, kita sangat sinonim dengan warga asing dari negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Pakistan, tetapi kini senarionya sudah berubah. Warga asing dari negara-negara Afrika dan Arab kini boleh dilihat di mana-mana.

Dengan jumlah komuniti yang terlalu besar itu, kita berhak berasa bimbang dengan pelbagai impak negatif yang boleh berlaku. Isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat tempatan misalnya, bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi. Apabila ada rakyat tempatan berasa terancam dan tidak selamat dengan kehadiran warga asing itu, maka kerajaan perlu bertindak segera.

Apatah lagi pelbagai isu jenayah daripada kes merompak dan samun sehinggalah kepada pengedaran dadah sering dikaitkan dengan warga asing. Kerana itu, ramai yang berharap kerajaan tidak menunggu lama dalam melaksanakan strategi menangani lambakan warga asing seperti yang disebut oleh Hishammuddin. Cadangan itu antara lain akan menumpukan kepada empat fokus penambahbaikan iaitu kajian undang-undang dan semakan prosedur kemasukan. Fokus lain termasuk penambahbaikan mekanisme pemantauan dan sistem maklumat serta pemantapan strategi penguatkuasaan.

Cadangan itu juga akan membabitkan kerjasama dengan 13 buah kementerian yang berkaitan. Bagi pemerhati sosial, Mohd. Na'eim Ajis, cadangan kerjasama antara kementerian itu boleh dipertingkatkan dengan melaksanakan sistem kawalan pengagihan (distribute control). Sistem itu jelas pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, bukan sahaja dapat mengawal lambakan pendatang tidak kira sebagai pelajar, pekerja atau pelancong.

Tetapi ia dapat mengawal tingkah laku pendatang selama mereka tinggal di Malaysia. Idea mengetengahkan sistem itu ujar beliau, cuba mengagihkan tanggungjawab terutama untuk mengawal pendatang asing kepada pihak lain sama ada kementerian, majikan, agen dan sebagainya.

Sistem ini dilihat akan mewujudkan satu tanggungjawab bersama terhadap pengawalan kemasukan pendatang asing ke Malaysia. ''Contohnya, jika ada pelajar-pelajar asing yang melakukan kesalahan seperti terlibat dengan jenayah, tinggal lebih masa atau mengancam ketenteraman warga tempatan, maka pihak institusi pengajian tinggi tersebut boleh dipersoalkan," katanya.

Di samping itu tambah Mohd. Na'eim, jika ada majikan yang menggaji pekerja asing yang tamat tempoh, mereka perlu dikenakan hukuman dahulu secara automatik tanpa melihat hubungan yang wujud. Begitu juga dalam sektor pelancongan, setiap pelancong asing perlu mendaftar di kaunter Kementerian Pelancongan di setiap pintu masuk negara. Mereka juga perlu meninggalkan pasport dan satu pengenalan diri sementara akan diberikan.

''Mungkin sebahagian langkah-langkah ini akan merumitkan sesetengah pihak terutama pelancong asing, tetapi ia dilakukan untuk pengawalan," kata beliau. Langkah itu dengan sendirinya tidak memerlukan kerajaan mengambil tindakan drastik seperti menghentikan terus pengambilan pekerja asing atau menamatkan visa ketibaan (VOA) atau mengurangkan pengambilan pelajar asing.

Ini kerana tindakan itu seolah-olah menipu diri sendiri kerana kerajaan juga sebenarnya mendapat manfaat daripada kehadiran warga asing. Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah memperkemas jentera sedia ada. Ia termasuk dalam konteks pembuatan dasar, pengurusan, kawalan sempadan, perundangan dan penguatkuasaan.

''Apa yang lebih penting di sini adalah kerajaan perlu mengenal pasti punca masalah dan sektor mana yang menjadi penyumbang kepada isu ini atau ia disebabkan masalah warga asing. Dengan mengetahui punca sebenar, ia akan dapat membantu kerajaan menangani isu lambakan pendatang asing secara realistik dan holistik," jelas Mohd. Na'eim.

Beliau juga ditanya mengenai cadangan supaya tawaran kerja kepada kira-kira 90,000 pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditangguhkan buat sementara waktu. Bagi beliau, pada asasnya, pengambilan pelarian itu sebagai pekerja adalah sesuatu yang rasional. Ini kerana selain dapat memenuhi permintaan pekerjaan, ia juga dapat menyelesaikan isu pelarian dan aktiviti mereka di negara penerima seperti Malaysia.

Namun tambah beliau, untuk melaksanakannya pada masa ini adalah tidak relevan kerana negara sedang bangkit untuk pulih daripada kegawatan ekonomi. ''Biar kita selesaikan isu pengangguran pekerja tempatan dan PATI terlebih dahulu kerana ia ditakuti akan menjadi konflik dalaman negara terutama ketidakpuasan hati di kalangan penduduk tempatan," katanya. Ini menjelaskan bahawa selagi kita tidak dapat mengawal isu pendatang asing, selagi itulah negara akan sentiasa dihimpit dengan pelbagai masalah yang berkaitan dengan isu migrasi.

Akhirnya ia akan merugikan negara dalam jangkamasa panjang.

-U/Malaysia-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan