Siapa bohong, PM atau Cuepacs?

Zolkharnain Abidin
Berita dengan sendirinya mempunyai dua kemungkinan iaitu benar dan bohong. Apabila ada dua berita, boleh jadi kedua-duanya benar dan boleh jadi juga kedua-duanya bohong. Kalau satu sahaja yang benar, tentu satu lagi adalah bohong.

Cuma masalahnya, bolehkah berita yang datang dari sumber yang sama, salah satu adalah benar dan satu lagi bohong?

Boleh jadi juga, media melaporkan dengan benar tetapi orang yang mengeluarkan kenyataan adalah berbohong. Kalau orang itu bohong, bohonglah media. Begitu juga sebaliknya.

Bharian.com melaporkan ekonomi Malaysia pulih dengan pertumbuhan luar jangkaan sehingga 4.5 peratus pada Okt – Dis 2009. Penguncupan ekonomi juga hanya 1.7 peratus sahaja berbanding jangkaan sebanyak 3.0 peratus tahun lalu.

Najib berkata, Malaysia sudah pulih daripada kesan krisis ekonomi global. Tahun 2010, negara ini akan menikmati pertumbuhan kukuh.

Katanya, jangkaan awal pertumbuhan ekonomi adalah 4.0 peratus tetapi status terkini, pertumbuhan ekonomi adalah antara 5.0 hingga 6.0 peratus.

Adakah kenyataan Najib ini benar?

Cuepacs menggalakkan kakitangan kerajaan kumpulan sokongan II ‘menjadi pemandu teksi’ untuk menambah pendapatan. Tidak perlu buat kerja lebih masa kerana kerajaan tidak membayar bagi kerja lebih masa. Puncanya ialah jabatan kerajaan tidak mempunyai ‘bajet’.

Najib kata pertumbuhan ekonomi pada tahun ini semakin baik. Cuepacs kata jabatan kerajaan tidak punya bajet untuk bayar kerja lebih masa, kerajaan tidak berduit untuk itu.

Perkataan siapakah yang menggambarkan kedudukan sebenar ekonomi negara? Najib atau Cuepacs? Najib kata ekonomi baik, Cuepacs kata ekonomi buruk.

Siapa benar, siapa bohong?

Bolehkah kedua-duanya benar atau kedua-duanya bohong dalam isu ini? Disiplin ilmu mantik tidak membenarkan dua sifat yang bercanggah ada pada satu benda pada masa yang sama.

Ok, mari kita nilai siapa benar siapa bohong?

Pada tahun lepas, anak saya yang bersekolah asrama penuh dibenarkan pulang bermalam tiga minggu dan kadang-kadang empat minggu sekali. Pada tahun ini mereka diwajibkan pulang bermalam dua minggu sekali.

Seorang lagi anak saya yang bersekolah di sebuah negeri Pantai Timur, diwajibkan pulang bermalam walau pun cuti perayaan tahun baru Cina hanya empat hari sahaja. Dua hari dia atas bas dan dua hari di rumah.

Tahun lepas, ekonomi negara memang meruncing tetapi dibenarkan balik tiga minggu sekali. Tahun ini Najib kata ekonomi semakin baik tetapi diwajibkan balik dua minggu sekali. Ada sekolah yang mengarahkan pelajarnya pulang bermalam tiap-tiap minggu.

Kalau begini jadinya, saya simpulkan begini.

Bharian.com tidak berbohong. Cuepacs tidak berbohong. Habis, siapa yang berbohong…? Paling sedih, rakyat menjadi mangsa bohong seorang PM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan