ZULKIFLI YAHAYA
Hanya sebulan sahaja lagi, genap dua tahun Pakatan Rakyat mentadbir Kedah. Kedah masih berjaya mengekalkan rekod sebagai negeri tanpa kontroversi di kalangan negeri yang dikuasai Pakatan. Bahkan berbanding dengan Terengganu dan Perlis yang ditadbir BN, PAS dikira lebih selamat dari kontroversi besar dan terbuka.
Di kalangan Umno veteran atau yang sudah terpinggir dari kepimpinan yang ada hari ini, mereka banyak memuji kepimpinan Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar.
Setelah Umno Kedah ternyata tidak mampu untuk berdepan dengan PAS dalam ‘peperangan terbuka’ maka jalan yang dipilih oleh mereka sekarang ialah ‘serangan gerila’. Mereka menyerang berdasarkan isu-isu tertentu di peringkat lokaliti dan menyepikan diri apabila jawapan balas diberi. Ia nampak tidak serius tetapi ancamannya tetap ada, terutama di kalangan rakyat yang kurang mengikuti perkembangan semasa. Saya ingin mengemukakan beberapa contoh serangan gerila yang dilakukan BN.Di Sik, pihak tertentu memainkan isu kononnya Menteri Besar dan Setiausaha Politiknya, Sanusi Muhammad Nor telah menyalahgunakan wang milik Koperasi Beris Berhad. Sanusi dikaitkan kerana dia anak Sik yang bertanding kerusi DUN Belantek dalam pilihanraya lalu. Beliau tewas kepada Ketua Umno Bahagian Sik, Tajudin Abdullah sebanyak 252 undi, apabila calon BN itu mendapat lebih seribu undi pos dari anggota tentera yang dimasukkan nama mereka dengan sengaja oleh SPR. Dengan lain perkataan, calon BN yang menang itu layak digelar wakil pos, bukan wakil rakyat.
Apabila dilantik menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, bintang Sanusi gemerlapan dan mereka berusaha menggelapkan karier politiknya melalui fitnah kononnya beliau adalah pelahap duit koperasi Beris.
Koperasi Beris Berhad diwujudkan hasil dari perpindahan kira-kira 200 keluarga penduduk Beris akibat kampung mereka diambil-alih oleh kerajaan untuk dibina Empangan Beris.
Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sejumlah wang kepada kerajaan negeri (di zaman BN) dengan dua tujuan. Pertama, untuk pembinaan Empangan Beris dan kedua, untuk membayar pampasan kepada penduduk yang dipindahkan. Pampasan diberikan mengikut jumlah nilai tanah diambil di samping rumah dan tapak rumah yang terletak di Bandar Beris Jaya. Mereka juga diberi saham dalam Koperasi Beris Berhad, iaitu berupa tanah sebanyak 334 hektar (milik PKNK) untuk diusahakan. Setiap orang dianggarkan mendapat 200 pokok getah (sebagai nilai saham) dalam ladang yang diusahakan di atas tanah PKNK tersebut. Walaupun ia kononnya milik Koperasi Beris tetapi diusahakan oleh Kumpulan Ladang, bukan koperasi sendiri.
Isu besar yang tidak disedari oleh ahli koperasi itu ialah tanah tersebut masih milik PKNK apabila kerajaan negeri (dulu) tidak membayar RM10.2 juta kepada PKNK untuk membelinya bagi diserahkan kepada mangsa perpindahan. Ertinya, hanya pokok getah yang diusahakan milik mereka sedang tanah milik PKNK.
Tahun 2008 setiap ahli koperasi dibayar keuntungan projek RM4800. Berikutan kejatuhan harga komoditi peringkat global, tahun 2009 mereka hanya menerima RM1700 setiap orang. Di situlah timbul fitnah kononnya wang koperasi disonglap orang politik. Ada yang menyangka ia adalah bayaran diberi setiap tahun adalah pampasan tanah, walhal bayaran tersebut cuma keuntungan projek koperasi.
Terbaru, terdapat usaha ahli koperasi untuk mengusahakan sendiri projek, bukan menyerahkan kepada Kumpuan Ladang untuk diusahakan. Malangnya ia menemui jalan buntu kerana tanah tersebut milik PKNK bukan milik koperasi. Ia adalah angkara kerajaan lalu tetapi pihak lain pula yang menanggung akibat. Itu satu contoh ’serangan gerila’ BN.
Baru-baru ini Ketua Penerangan Umno Kedah, Ir. Nawawi Ahmad membidas kerajaan negeri kononnya gagal menarik pelancong ke negeri ini. Dakwanya pelancong merosot sebanyak 15 peratus dalam tahun 2009, berbanding tahun sebelumnya. Petunjuk kemerosotan diperolehinya dari laporan jualan tiket yang dikeluarkan oleh korsortium feri ke Langkawi. Kenyataan itu bukan setakat satu ‘serangan gerila’ tetapi juga merupakan ‘serangan gila’ kerana ia bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Ng Yen Yen bahawa jumlah pelancong ke Langkawi bertambah pada tahun 2009.
Menurut fakta rasmi yang dikeluarkan oleh LADA, bilangan pelancong pada tahun 2008 ialah 2,303,098, manakala tahun 2009 ialah seramai 2,492,692. Maknanya pelancong bertambah. Jumlah yang berkurang cuma pelancong asing iaitu 740,394 (2009) berbanding 761,109 (2008), sedangkan jumlah pelancong domestik bertambah.
Kemerosotan kemasukan pelancong asing bukan isu besar kerana ia tidak hanya berlaku di Langkawi, sebaliknya di seluruh dunia akibak wabak H1N1.
Fakta yang dikeluarkan oleh LADA itu adalah berdasarkan perangkaan yang dicatatkan Jabatan Laut, lapangan terbang dan imigresen. Tentulah faktanya sangat tepat berbanding Umno yang mengutip petunjuk hanya dari pengusaha feri Kuala Kedah. Malangnya, RTM hanya menyiarkan kenyataan bohong pemimpin BN dan menyembunyikan fakta yang dikeluarkan oleh LADA.
Begitu juga dakwaan kononnya pelabur lari dari Kedah. Sepanjang tahun 2010, Kedah mencatatkan sebanyak RM1.837 Billion yang membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 3,000 orang. MIDA meletakkan Kedah di tempat kelima jumlah pelaburan masuk terbesar di negara ini. Sebenarnya jika di masukkan pelaburan syarikat gergasi First Solar yang bernilai RM1 Billion, Kedah menduduki tempat keempat selepas Sarawak, Selangor dan Johor. Penjelasan sudah diberi dalam sidang DUN, semua ADUN BN mendengarnya. Tetapi di luar dewan, ’serangan gerila’ terhadap PAS berhubung itu pelabur terus dimainkan, kerana mereka tahu tidak semua rakyat mendapat maklumat sebenar.
Bagaimanapun kejayaan ’serangan gerila’ yang dibuat oleh BN dalam pilihanraya banyak bergantung kepada jumlah rakyat yang buta isu semasa. Semakin ramai golongan seperti itu, semakin untunglah BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan