Ku Li: Saya bukan pembangkang, tetap bersama Umno

Mohd Zuharman
GUA MUSANG, 13 Mac
- Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau akan tetap bersama Umno dan Barisan Nasional (BN) walaupun terpaksa berhadapan dengan kecaman bertubi-tubi pemimpin parti itu ekoran pendiriannya dalam soal pertikaian royalti minyak Kelantan.

“Perjuangan saya dalam Umno sudah lama. Jadi tidak ada sebab saya akan tinggalkan perjuangan yang sudah pun sebati dengan saya.

“Saya bukan pembangkang. Kalau orang kata saya ini pembangkang itu silap.

“Saya lihat kepada kebenaran, dan saya ingin terjemahkan kebenaran dan keadilan itu kepada rakyat,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri majlis Perjumpaan Kepimpinan BN Parlimen Gua Musang di Bukit Chekati di sini hari ini.

Tengku Razaleigh berkata demikian bagi menerangkan dengan secara langsung kepada masyarakat setempat termasuk ahli-ahli Umno Gua Musang berhubung isu-isu mengenai pendiriannya dalam politik yang sejak kebelakangan dilihat seperti menentang arus.

“Sebelum ini orang hanya dengar melalui radio, TV dan surat khabar.

“Jadi sekarang saya ingin terangkan kepada umum termasuklah kepada rakan-rakan dari Umno sendiri secara langsung bahawa saya tetap dengan Umno.

“Walau sebanyak mana sekalipun saya dikecam, jiwa saya tetap pada Umno dan saya akan bersama Umno,” tegasnya.

Tengku Razaleigh diandaikan oleh segelintir pemimpin Umno seolah-olah bertukar pendirian apabila bertindak sanggup memberi penerangan secara terbuka dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan di stadium Sultan Mohamad IV Januari lalu.

Segelintir pemimpin menggesa beliau keluar Umno dan mengosongkan kerusi Parlimen Gua Musang.

Oleh itu, Majlis Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya hujung bulan lalu menyerahkan kepada akar umbi untuk memberikan pandangan mengenai tindakan yang patut diambil ke atas Tengku Razaleigh.

“Saya bertanggungjawab untuk menerangkan kepada rakyat sebab saya tidak mahu rakyat labelkan saya sebagai pembohong kepada mereka.

“Apatah lagi saya orang yang bertanggungjawab dalam merangka undang-undang perjanjian pasal minyak ini seperti mana diminta oleh (Allahyarham) Tun Razak,” katanya.

Mengulas mengenai Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang mempelawanya menyertai parti berkenaan, beliau mengucapkan terima kasih sambil menambah, “Saya Umno, dan akan tetap dengan Umno”.

“Saya tidak akan mengubah prinsip dan pendirian,” katanya.

Pada majlis yang sama Tengku Razaleigh turut memaklumkan bahawa beliau akan hadir pada satu sesi penerangan berkaitan isu tuntutan royalti minyak di Terengganu pada 18 Mac ini.

“Atas tiket NGO saya akan hadir. Sama seperti di Kota Baru dulu pun saya hadir atas tiket NGO bukan parti politik,” katanya sambil bertegas, tidak akan hadir pada majlis seumpama itu sekiranya dianjurkan atas tiket parti politik.

Sehubungan itu beliau mengharapkan seluruh rakyat terutama ahli dan pemimpin Umno khususnya BN faham dengan penerangan dibuatnya hari ini.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan