Mangsa nikah bawah umur kembali sekolah, ayahnya tinggalkan tabligh

Mohd Zuharman

KOTA BARU, 25 Mac: Siti Nur Zubaidah Hussin, 11, yang menjadi mangsa perkahwinan bawah umur dengan seorang ahli tabligh bulan lalu, meneruskan persekolahannya sejak Ahad lalu manakala ayahnya pula bertekad mahu meninggalkan kumpulan tabligh.

Siti Nur Zubaidah yang dibelenggu mimpi ngeri selepas dinikahkan dengan ahli jemaah tabligh yang dikenali sebagai Shamsudin “Ajaib”, 41, kini menetap di Tanah Merah bersama bapa saudaranya.

Ibunya, Siti Sarnan Mat Ail tidak menghalang kehendak anak perempuannya itu yang memilih untuk tidak tinggal bersama saudara-maranya di Dabong buat sementara waktu.

“Itu pilihan dia (Siti Nur Zubaidah) sendiri selepas kejadian baru-baru ini,” katanya.

“Jadi saya tidak menyekat... lagi pun abang sulong (bapa sedara Siti Nur Zubaidah) saya sendiri sanggup untuk menjaga dia.

“Saya percaya pilihan dia itu mungkin dirasai untuk kebaikan dirinya sendiri dan sebagai seorang ibu, sedikit sebanyak saya dapat merasa apa yang dia rasa.

“Namun apa boleh buat, takdir Allah mengatasi segala-galanya” Kata Siti Sarnan ketika dihubungi awal pagi ini.

Siti Nur Zubaidah meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah (A) Arab Riayatul Diniah, Bukit Mas sejak Ahad lalu.

Sebelum ini dia belajar di Jelawang, Dabong.

Mengulas lanjut, Siti Sarnan memberitahu situasi anaknya itu kini semakin stabil berbanding di awal dulu traumanya dilihat agak kritikal sehingga membimbangkan seluruh ahli keluarga.

“Nasib baiklah tidak sampai ke situ. Dia pun faham bahawa ayahnya telah ditipu, diperdaya oleh Shamsudin.

“Ayahnya tidak pernah berniat sedikitpun untuk berbuat demikian terhadapnya,” jelas Siti Sarnan sambil mendakwa kaum keluarganya tidak putus-putus memberi semangat agar sentiasa bersabar menghadapi dugaan Allah.

Siti Nur Zubaidah dinikahkan oleh bapanya dengan Shamsudin “Ajaib” atau turut dikenali sebagai “Sudin Ajaib” di sebuah madrasah berhampiran masjid besar Machang 19 Feb lalu sebagai ‘nikah isyarat’ tanpa kehadiran Siti Nur Zubaidah setelah diperdaya kononnya perbuatan itu mengikut sunah Nabi Muhammad SAW.

Dia kemudian dilarikan selama 20 hari sebelum ditemui dalam keadaan separuh sedar di Masjid Al-Ikhwan, Taman Samudera, Batu Caves.

Enakmen Keluarga Islam Kelantan menetapkan syarat umur berkahwin bagi perempuan minimum 16 tahun ke atas.

Sementara itu, Hussin bersama nada yang sebak ketika bercakap kepada The Malaysian Insider mendakwa tidak menyangka perkara yang berlaku itu hampir meruntuh seluruh kehidupannya serta keluarga.

“Seolah-olah dalam sekelip mata, saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak cerita, tapi Alhamdulillah, Tuhan masih sayangkan keluarga kami. Keterlanjuran itu tidak berlarutan meskipun dari segi emosi dan moralnya, perit saya hanya Tuhan saja yang tahu,” katanya.

“Saya tidak dapat nak cerita, saya sendiri tidak tahu bagaimana ia berlaku, yang pastinya saya tidak pernah berniat untuk menghancurkan kehidupan seorang anak.

“Saya kira ini satu pengalaman tidak mungkin mudah untuk dilupakan, sekali gus ia akan menjadi pengajaran paling bermakna kepada diri saya,” katanya yang juga sebagai ahli jemaah tabligh sejak tahun 1980-an.

Sambil meluahkan rasa menyesalnya terhadap apa yang berlaku, Hussin turut melahirkan rasa kecewa dengan rakan-rakan dari kalangan jemaahnya yang hanya mengambil sikap membisu walaupun menyedari malang yang menimpa keluarganya dicetuskan oleh anggota dari satu jemaah yang selama ini dikatakan mendokong sunah.

“Saya segera maklum kepada majlis syura jemaah sebaik menyedari kejadian itu supaya bertindak ke atas Sudin.

“Mereka mengiyakan... saya ingat iya mereka itu disusuli dengan tindakan tapi rupa-rupanya hanya setakat mengiyakan saja, selepas itu diam. Sudin sampai hari ini pun entah ke mana,” jelasnya sambil memutuskan selepas ini tidak akan aktif lagi bersama jemaah tersebut.

Hussin bagaimanapun tidak menafikan tiga anggota dari jemaah tersebut ada mengunjunginya bertanya khabar kedudukan sebenar kejadian selepas 10 hari kontroversi itu tercetus.

“Itu pun secara kebetulan. Kebetulan sedang mengerjakan aktiviti dakwah dekat sini,” katanya di samping mengaku hanya mengenali Shamsudin kira-kira setahun lalu.

Sehubungan itu beliau mengharapkan orang ramai khususnya ahli keluarga termasuk anak-anaknya sendiri tidak lagi menudingnya dengan satu persepsi negatif terhadap kesilapannya yang mencetuskan kontroversi itu.

Beliau turut menyaran anggota jemaah tabligh menjaga kehormatan jemaah daripada bertindak berasaskan nafsu demi menjaga nama baik selari dengan apa yang diamal dan didakwah kepada orang ramai dalam menjunjung konsep sunah Nabi Muhammad. “Kerana kadang-kadang angkara sikap tidak baik satu dua orang menyebabkan sesuatu jemaah dipandang buruk” ujarnya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan