MEB: Pemerintah sedia hadapi risiko politik

Kadir Jasin
OLEH sebab saya, seperti juga rakyat jelata Malaysia yang lain, tidak “privy” kepada Model Ekonomi (Model Baru Ekonomi?) – New Economic Model – yang khabarnya akan diumumkan penghujung bulan ini, maka saya hanya boleh bertanya dan membuat andaian.

Bagi saya, buatlah apa pun dan gunakanlah apa jua label, tetapi semuanya tidak berguna dan tidak sah jika Perlembagaan dan Rukun Negara tidak dihormati.

Ia tidak berguna dan tidak sah jika kepentingan majoriti, sama ada daripada aspek bangsa, agama, status ekonomi atau wilayah diabaikan.

Perlembagaan menjamin hak semua rakyat jelata dan memberi beberapa keistimewaan kepada orang Melayu dan anak negeri Sarawak dan Sabah sebagai bangsa tuan rumah.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan amat jelas dan terperinci mengenai hal ini dan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong melaksanakannya.

Kalau pemerintah boleh melesenkan orang bukan Islam membuka kedai judi, kedai arak dan pusat-pusat istirahat yang kemudiannya menjadi sarang pelacuran, kenapa pemerintah tidak boleh terus mengeluarkan lesen dan memberi biasiswa, latihan dan pekerjaan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak?

Benarlah tempoh laku DEB sudah berlalu dan digantikan oleh Dasar Pembangunan Nasional dan selepas itu oleh Dasar Pembangunan Wawasan, tetapi hak istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak kekal.

Kemiskinan kembali mengancam dan jurang pendapatan semakin meluas. Matlamat menyusun semula masyarakat masih belum terlaksana.

Jadi, bolehkah sesiapapun, khasnya para pembesar Melayu dan Bumiputera dalam pemerintahan, mengatakan persetan (go to hell) dengan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang miskin kerana sekarang masa melaksanakan dasar ekonomi bebas?

Bolehkah sesiapapun, khasnya para pembesar Melayu dan Bumiputera dalam pemerintahan, mengatakan persetan (go to hell) dengan orang miskin dan orang berpendapatan rendah kerana pemerintah wajib menghapuskan subsidi, membuka pasaran dan melaksanakan tender terbuka selaras dengan tuntutan negara maju?

Perkara 153 Perlembagaan

Apakah peruntukan 153 Perlembagaan seperti berikut tidak bermakna lagi?

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.”

Apakah keghairahan pemerintah memperkenalkan MEB yang dikatakan akan membebaskan ekonomi daripada subsidi dan membuka seluas-luasnya kepada persaingan global menghalalkan segala-galanya.

Bukankah Perkara yang sama mengatakan: “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain.”?

Apakah subsidi terlalu buruk dan terlalu membebankan pembayar cukai sehingga pemerintah perlu mengorbankan kepentingan rakyat jelata miskin tanpa mengira bangsa, tempat dan wilayah?

Apakah kontrak pembelian (procurement) pemerintah terlalu besar sehingga negara luar seperti Amerika Syarikat wajib turut diberikan habuan?

Atau apakah Perjanjian Perdagangan Bebas begitu penting dan kritikal sehingga hak dan keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan terpaksa diabaikan?

Umno dan Risiko Politik

Nampaknya begitulah. Apa tidaknya, apabila Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah, pada 5 Mac dengan angkuh mengatakan risiko politik tidak akan menghalang pemerintah daripada melaksanakan MEB.

Dengan sombong juga dia berkata persaingan mungkin tidak disukai oleh sesetengah penyokong Barisan Nasional “yang menyokong agar dasar ekonomi yang berasaskan bangsa dan naungan politik diteruskan.”

Soalnya, apakah Umno yang ditubuhkan sebagai parti nasionalis Melayu yakin hak dan keistimewaan orang Melayu perlu dikorbankan atas nama MEB, penghapusan subsidi dan persaingan global?

Atau Umno bukan lagi United Malay National Organisation yang memperjuangkan hak orang Melayu, tetapi sudah menjadi United Malaysian Nasional Organisation?

Apakah mekanisme perundingan massa seperti Kongres Ekonomi Bumiputera dan Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen) tidak berguna lagi kerana kini wujud Majlis Penasihat Ekonomi?

Buat sementara waktu ini, nampaknya kita rakyat jelata hanya boleh bertanya, berharap dan berbahas sesama sendiri dalam sidang, seminar dan perhimpunan massa anjuran badan-badan bukan kerajaan Melayu.

Kalau seperti kata Ahmad Husni Hanadzlah, risiko politik tidak akan menghalang pemerintah daripada melaksanakan MEB, maka apa yang tinggal kepada kita adalah menanti saat ia datang melawati kita dan kita bertindak balas ke atasnya.
http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan