Nasib Melayu Pulau Pinang

Wan Hamidi Hamid

7 MAC: Masalah Melayu Pulau Pinang yang dikatakan terpinggir biasanya dibangkitkan setiap kali menjelang Perhimpunan Agung Umno. Agenda siapa, tak tahulah. Selepas itu suara-suara marah reda sehinggalah tahun berikutnya.

Namun selepas Barisan Nasional tewas dalam pilihan raya umum Mac 2008, isu Melayu Pulau Pinang yang biasanya timbul setahun sekali, secara tiba-tiba golongan ini menjadi terpinggir dan ditindas setiap hari; setidak-tidaknya itulah yang dilaporkan oleh media arus perdana saban hari.

Agendanya adalah untuk memperlihatkan kepada orang Melayu, terutamanya mereka yang berada di luar Pulau Pinang, betapa kejam dan zalim kerajaan negeri pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang telah dituduh anti-Melayu dan anti-Islam.

Pada masa yang sama, kumpulan-kumpulan ketuanan kaum telah mengetepikan fakta di mana DAP disokong oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat, walau pun ada seorang dua masih tidak faham hasrat rakyat. Kumpulan ini juga menyembunyikan hakikat di mana kerajaan negeri Pakatan mendapat kerjasama penuh daripada perkhidmatan awam negeri dan pihak berkuasa tempatan yang mana majoriti pegawai dan anggotanya adalah kalangan Melayu.

Malah, juara-juara kaum ini membisu dengan apa yang telah berlaku kepada orang Melayu sebelum Mac 8, 2008 di mana Barisan Nasional, dan sebelum itu Perikatan, telah memerintah Pulau Pinang sejak 1957.

Sepanjang 51 tahun, Pulau Pinang diterajui oleh Ketua Menteri dari kaum Cina atas dasar majoriti kaum, sebagaimana Melayu menjadi Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia atas dasar yang sama. Walau pun MCA atau Gerakan yang memimpin kerajaan negeri, mereka sentiasa bersama dengan Umno dan turut dipantau oleh kerajaan pusat yang diterajui oleh Umno.

Sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi baru hingga menjelang tahun 1990-an, Pulau Pinang telah dibekalkan dengan infrastruktur pembangunan khusus untuk Melayu semata-mata melalui Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Koperasi Gabungan Negeri serta bantuan dana kepada badan-badan seperti Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan kumpulan-kumpulan berkaitan.

Pada tahun 1993, Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri, anak Pulau Pinang yang pertama memegang jawatan itu. Setelah Anwar dipecat dan dipenjarakan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1998, anak Pulau Pinang kedua Abdullah Ahmad Badawi pula menjawat kedudukan itu. Malah Abdullah menjadi anak negeri pertama yang menjadi Perdana Menteri pada 2003 sehingga terpaksa meletak jawatan pada awal 2009.

Ini bererti dalam masa 16 tahun lalu, dengan kedudukan jawatan tinggi sedemikian, sepatutnya membolehkan Melayu Pulau Pinang, khususnya yang miskin, diberi lebih keutamaan untuk menyelesaikan masalah kepinggiran mereka. Tetapi rungutan yang sama juga kedengaran.

Sebenarnya secara purata indeks kemiskinan Pulau Pinang adalah yang paling rendah di Malaysia dengan kadar 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah, mengikut kajian 2004. Menurut laporan kajian Rancangan Malaysia Kesembilan, negeri-negeri yang paling teruk dilanda kemiskinan ialah Sabah dengan 23 peratus, Terengganu 15.4 peratus dan Kelantan 10.6 peratus.

Sekadar menyimpang sedikit, dalam kes Kelantan, ia adalah “kemajuan” kerana kadar kemiskinan pada tahun 1999 adalah 25.2 peratus, merupakan negeri paling miskin di negara ini. Kerajaan negeri pimpinan Pas telah berjaya menurunkan kadar itu sebanyak 14.6 peratus. Sebaliknya Sabah yang diambil alih pimpinan negeri oleh Umno dan Barisan Nasional pada 1994 hingga sekarang, kadar kemiskinan sejak 1999 hingga 2004 tidak banyak berubah, iaitu turun sedikit dari 23.4 peratus ke 23 peratus sahaja.

Secara am, lebih ramai Melayu miskin di negeri-negeri majoriti penduduk Melayu khususnya di bawah pentadbiran Umno dan Barisan Nasional.

Walau pun tidak dinafikan wujudnya kemiskinan Melayu di Pulau Pinang terutamanya di kawasan bandar serta masalah-masalah berkaitan perniagaan kecil, pemilikan rumah dan hartanah serta penguasaan bidang-bidang kerja, Umno mempunyai lebih 50 tahun untuk membantu menyelesaikan masalah itu atas dasar pegangan kuasa di peringkat pusat. Atau setidak-tidaknya 20 tahun untuk Umno menanganinya sewaktu Malaysia berkembang pesat dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.

Namun, mengikut kajian Umno Pulau Pinang sendiri pada awal tahun-tahun 2000-an, walau pun ekonomi negeri berkembang, kedudukan orang Melayu dikatakan masih berada di takuk lama.

Isu-isu remeh yang dibesar-besarkan sekarang sudah pun berlaku sewaktu Umno berkongsi kuasa dengan Gerakan di Pulau Pinang; malah semasa Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya, ketegasan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang sekarang dalam usaha menguatkuasakan undang-undang dijadikan propaganda untuk menonjolkan apa yang dikatakan kononnya kezaliman kerajaan negeri.

Mengimbas kembali, pada tahun 2005 di mana Umno dan Gerakan berkuasa di Pulau Pinang, kerajaan negeri telah pun menghantar notis terhadap lebih 12,000 pemilik unit rumah kos rendah kerana gagal menjelaskan sewa sejak 10 tahun tinggal di kediaman mereka.

Bukankah majoriti pemilik rumah kos rendah di negeri itu adalah orang Melayu? Bukankah exco kerajaan negeri pada masa itu wakil dari Umno? Bayangkan tindakan juara-juara ketuanan kaum jika keputusan itu dibuat oleh pimpinan negeri hari ini.

Begitu juga pengakuan exco kerajaan negeri Umno yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal pelancongan pada tahun 2005 yang mengakui penyertaan operator dan pemandu pelancong Melayu di Pulau Pinang hanya mencapai 10 peratus.

Pada tahun 2006 pula, hampir 30 peratus daripada 350 ahli persatuan peniaga Melayu dilaporkan dalam keadaan tenat, malah hampir semua yang menjalankan perniagaan di Komtar telah merosot teruk.

Abdullah sebagai Perdana Menteri selama lebih satu penggal juga gagal berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah Melayu yang Umno sendiri katakan sebagai terpinggir. Sama ada benar-benar terpinggir atau hanya propaganda politik, ia memerlukan kajian lain yang lebih mendalam.

Mungkin ada baiknya kerajaan negeri Pulau Pinang sekarang mendedahkan secara terperinci butir-butir dan perangkaan di samping peruntukan serta perbelanjaan untuk kemajuan orang Melayu sejak Merdeka, atau sekurang-kurangnya sejak DEB dilaksanakan.

Ini adalah penting kerana segala masalah yang berlaku sewaktu Umno menerajui kepimpinan negeri bersama Gerakan telah dikumpulkan oleh wira-wira kaum untuk disimbah terhadap kerajaan negeri pimpinan Guan Eng. Keadaan ini digambarkan pula sebagai krisis kepimpinan negeri oleh kebanyakan media arus perdana.

Di tengah-tengah “krisis” ini, negara baru-baru ini digemparkan dengan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap seorang setiausaha politik Menteri yang berpusat di Pulau Pinang yang ditahan di sebuah pangsapuri dengan wang tunai berjumlah lebih RM2 juta.

Bandingkan jumlah wang tunai yang bertaburan di dalam pangsapuri itu dengan usaha kerajaan negeri pimpinan Guan Eng mengumpul dana dalam jumlah yang sama, iaitu kira-kira RM2 juta, untuk membantu lebih 700 keluarga miskin tegar – berpendapatan kurang dari RM400 sebulan - di Pulau Pinang tahun lalu.

Ke mana perginya berjuta-juta, malah berbilion ringgit lagi, yang diperuntukkan khusus untuk orang Melayu Pulau Pinang, sama ada dari dana kerajaan negeri atau kerajaan pusat, sejak bertahun-tahun lamanya sebelum ini?

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan