Nik Aziz mahu PAS anjur seminar hak-hak bukan Islam sebelum AGM

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat mengesyorkan seminar menyentuh hak-hak bukan Islam dalam pemerintahan berteraskan Islam sempena Muktamar PAS pertengahan tahun ini dalam usaha memantapkan Pakatan Rakyat.

Kata beliau, melalui seminar sedemikian PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam.

“Demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam bersempena Muktamar PAS akan datang,” kata beliau dalam perutusannya sempena ulang tahun kedua Pakatan Rakyat.

Dalam pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, Pakatan Rakyat menguasai lima negeri termasuk Kelantan yang dimenangi PAS pada 1999. Bagaimanapun Perak berpindah tangan awal tahun lalu.

Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan PKR juga memperoleh satu pertiga kerusi di Parlimen — kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan memberitahu bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini beliau berharap para pemimpin dan pendukung perjuangan ikatan itu dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat.

“Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk “Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami” sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan.

“Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff tahun lalu adalah suatu titik persetujuan awal bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan.

“Sekali gus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan