Nik Rohana: Saya fail tuntutan sahkan lafaz cerai Sultan Kelantan

Mohd Zuharman

KOTA BARU, 12 Mac: Nik Rohana Abdul Rahman, individu yang didakwa bertanggungjawab memfailkan tuntutan pengesahan lafaz cerai talak tiga Sultan Kelantan terhadap isteri keduanya Elia Suhana Ahmad di Mahkamah Tinggi Syariah di sini kelmarin tidak menafikan perkara itu, tetapi enggan mengulas kedudukan sebenar.

“Saya minta maaf, tolong jangan tanya saya pasal itu,” kata Nik Rohana.

“Saya tidak nafikan. Memang saya tahu perkara itu. Tapi saya tak boleh, tak tahu nak buat kenyataan berhubung kes itu,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan-Tinggi, Abu Bakar Abdullah Kutty semalam yang mengesahkan bukan , Sultan Ismail Petra memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai tersebut.

“Bukan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sebenarnya yang mengemukakan permohonan tersebut sebagaimana dikeluarkan (dalam) akhbar, tetapi ia dipohon oleh seorang wanita yang bernama Nik Rohana Abdul Rahman,” kata Abu Bakar.

Abu Bakar menjawab soalan pemberita mengenai laporan media bahawa Sultan Kelantan telah memfailkan permohonan tersebut di Mahkamah Syariah di sini kelmarin.

Nik Rohana mengakui nama yang tertera dalam writ permohonan tersebut adalah namanya, namun reaksinya seolah-olah enggan bercakap mengenai perkara itu berkata, “Awak kena tanya pihak istana sendiri... Istana Mahkota.”

Menjawab motif tindakannya selain daripada kemungkinan namanya dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu dengan, tegas beliau, “tidak... tidak dipergunakan. Itu (dipergunakan namanya) salah tafsir. Segala-galanya tunggu 21 Mac ini.”

Laporan Bernama tiga hari lepas menyebut Sultan Ismail melalui peguamnya Zainul Rijal Abu Bakar telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga terhadap Elia Suhana.

Zainul Rijal berkata beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai.

Mengikut laporan, Zainul Rijal mendakwa beliau telah dititahkan oleh Sultan Kelantan supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai yang telah dilafazkan baginda pada 12 Feb lalu di hadapan beberapa orang saksi.

Peguam Elia Suhana, Fakhrul Azman mengesahkan permohonan tersebut difailkan oleh orang lain, bukannya Sultan Kelantan sambil mendakwa dari sudut logik pihaknya mempunyai ruang untuk mempertikaikan permohonan tersebut.

Mahkamah memutuskan akan mendengar permohonan itu pada 21 Mac ini.

Difahamkan Nik Rohana adalah isteri kepada seorang yang bergelar “Datuk”, bekas eksekutif di salah sebuah syarikat usahasama di negeri ini yang mana sekarang ini syarikat tersebut telah pun menjadi sebuah syarikat swasta di bawah naungan kerajaan negeri dan dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan