PAS tidak perlu Zulkifli - Mahfuz

Dzulfikar Mashoor
SHAH ALAM, 7 Mac:
“Mungkin dia (Tuan Ibrahim) berniat dakwah, tapi saya anggap kenyataan itu masih bersifat peribadi yang tidak perlu dipolemikkan,” kata Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS petang tadi selepas menghadiri Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor.

Sehubungan itu, Mahfuz berkata, keterbukaan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempelawa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Zulkifli Nordin menyertai PAS seperti yang dilaporkan akhbar elektronik mStar hari ini wajar diteliti terlebih dahulu oleh kepemimpinan tertinggi PAS.

Menurut Mahfuz, PAS seharusnya mengormati etika kepartian yang dipegang secara bersama-sama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Kita tak boleh ambil ahli-ahli yang ditolak oleh parti kawan-kawan kita, apatah lagi kalau seseorang itu ditolak disebabkan mengganggu muafakat Pakatan Rakyat, kerana ini etika yang dipegang bersama," jelasnya.

Sekiranya PAS menerima Zulkifli, Mahfuz berkata, PAS boleh dilihat tidak menghormati ketetapan berupa disiplin yang ditetapkan oleh PKR sendiri.

Ini kerana, dengan penyertaan Zulkifli ke dalam PAS, menurut Mahfuz boleh mengakibatkan isu disiplin yang dialami oleh PKR mungkin berpindah pada PAS pula.

"Selepas PKR, mungkin PAS pula berdepan dengan ahli-ahli yang tidak disiplin, yang akhirnya tidak juga menyelesai masalah pokok (disiplin) dalam Pakatan Rakyat sendiri.

“Orang yang tidak ada disiplin dalam parti kawan kita, tiba-tiba kita (PAS) pula atas nama 'terbuka' nak ambil orang itu masuk ke dalam parti kita,” jelasnya.

Sekiranya Zulkifli dibawa menyertai PAS, Mahfuz menjangkakan bahawa PAS sendiri bakal dilihat serong oleh para pemimpin Pakatan Rakyat serta rakyat sendiri.

Tambahnya lagi, Zulkifli yang dilihat acapkali bersikap provokasi, tidak beretika menurut prinsip organisasi serta tidak dilihat bersikap toleransi dengan penganut agama-agama lain sebelum ini, membolehkan PAS sendiri dilihat serong kelak.

“Dia dilihat cukup provokatif dalam isu kalimah ‘Allah’ umpamanya, kadang-kadang dilihat begitu 'mengganggu' muafakat Pakatan Rakyat (atas nama) Melayu, sedangkan Islam tidak mengajar sedemikian (dan) PAS pula adalah parti yang toleransi lagi (bersikap) sederhana dengan semua kaum dan penganut agama sebagaimana yang ditunjukkan (oleh) Nabi Muhammad s.a.w.”

Sebab itu, Mahfuz berkata, PAS seharusnya membuat pertimbangan yang sewajarnya mengikut kaedah yang disarankan menurut disiplin ilmu Islam.

“Seingat saya, Islam ada ajar kita ‘menolak kemudharatan itu lebih baik dari mengambil maslahah (kebaikan)’ (maka) kalau dia (Zulkifli) ini kita boleh anggap sebagai suatu mudharat (disebabkan) tidak disiplin dalam PKR, apakah jaminan kebaikan yang PAS akan dapat kalau dia sertai kita (PAS),” soal Mahfuz lagi.

“Kita (PAS) dalam Pakatan Rakyat sedikit sebanyak pun turut terganggu dari segi organisasi walaupun dia (Zulkifli) sebelum ini bermasalah dalam PKR, kalau dia duduk dalam PAS (maka) lebih-lebih lagilah,” jelasnya.

Pun begitu, beliau menganggap masalah disiplin Zulkifli hanya masalah berkaitan organisasi parti semata-mata.

“Masalah dia ini (adalah) masalah berkaitan organisasi parti, maka saya anggap masalah disiplin dia setakat itu saja, tak lebih dari itu.

“Etika dalam parti penting bagi saya, (maka) elok PAS menerima pemimpin yang berdisiplin saja,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan