PKR Kedah atur bekas exco jumpa Anwar

PKR Kedah mengatur pertemuan antara ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas exco negeri Tan Wei Shu berhubung penggugurannya daripada jawatan itu semalam.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Ahmad Kassim berkata pertemuan pada Sabtu ini bagi memberi peluang kepada Tan mengutarakan pendapatnya berhubung perkara itu.

"Saya sedang aturkan pada hari Sabtu ini untuk Datuk Seri (Anwar) datang ke Kedah dan singgah ke rumah Tan untuk makan malam," katanya lagi.

Beliau diminta mengulas ketidakhadiran ADUN Bakar Arang itu yang tidak hadir pada majlis pelantikan exco baru Kedah semalam sehingga dilaporkan menimbulkan teka-teki mengenai kedudukannya dalam parti.

Tan yang dilantik sebagai exco selama dua tahun tidak dilantik semula ke jawatan tersebut dan tempatnya diambil alih oleh seorang lagi wakil PKR, ADUN Sidam, Tan Show Kang.

Seorang lagi penyandang yang tidak dilantik semula ialah ADUN Pantai Merdeka, Abdullah Jusoh daripada PAS.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad berkata, pihaknya juga memohon “tempoh bertenang” sehingga dua minggu daripada media daripada mengulas lanjut isu tersebut.

Ahmad Kassim bagaimanapun berkata, Tan menerima baik keputusan pimpinan PKR negeri untuk tidak melantiknya semula ke jawatan exco dan kini sedang bercuti.

Ahmad berkata Tan memberitahu perkara itu kepadanya dalam satu pertemuan hujung minggu lalu.

"(Tan) juga kata dia telah lakukan yang terbaik sepanjang dua tahun sebagai exco. Dia kata begitu dengan nada yang begitu baik sekali.

"Itulah kali terakhir saya berjumpa dengan dia. Semalam dia beritahu saya (telefon) dia masih bercuti," kata Ahmad Kassim yang juga ahli parlimen Kuala Kedah.

"Kalau boleh kita sejukkan dulu sekejap (isu ini) dalam masa seminggu dua ini, beri tempoh bertenang (kepada Tan)," katanya

Beliau juga menyifatkan laporan akhbar yang menimbulkan teka-teki berhubung ketidakhadiran Tan dalam majlis itu sebagai satu spekulasi semata-mata.

"Itu spekulasi Utusan (Malaysia) saja. Saya tidak ada maklumat," katanya.

-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan