RM10 Bilion Untuk Pemuliharaan Sungai Klang

KLANG 8 MAC: Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan berjumlah RM10 bilion bagi memulihara dan mengindahkan Sungai Klang hingga layak dikategori dalam kelas kedua.

Sungai Klang kini dalam kategori lima dan menjadi antara sungai terkotor di negara ini sejak pemerintahan Umno-BN lagi tetapi bakal dikategori dalam kelas dua selepas pelaksanaan beberapa program.

Antara program itu ialah pembangunan kawasan perumahan di sepanjang sungai dan tanah rezab dan usaha menaik taraf dan menggantikan aset air.

Kesungguhan kerajaan Selangor terserlah apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail mengetuai pogram Menyusuri Sungai Klang yang bermula dari Pengkalan Batu, Klang hingga Seksyen 24, Shah Alam.

Turut serta bersama beliau ialah wakil dari Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), wakil Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

"Selama ini, kita tidak mengetahui kita mempunyai aset yang begitu berharga iaitu sungai yang suatu ketika dulu merupakan pusat pengembangan ekonomi yang ada tapi yang menyedihkan apabila bila menyusuri sungai, kita lihat aset ini diabai," katanya.

Program ini mendedahkan komuniti setempat tentang fizikal Sungai Klang dan meninjaun kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan, selain menanam sifat cintakan sungai.

Malah, Sungai Klang, masalah warisan Umno BN mampu menjadi wadah rangsangan ekonomi jika diurus dengan baik dan bijak.

"Ini adalah bahagian daripada amanah yang perlu dijaga untuk anak cucu yang akan datang. Ia juga boleh dijadikan sumber ekonomi. Tidak salahlah jika saya sebutkan kerajaan baru pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim memilih sungai sebagai salah satu rangsangan ekonomi yang akan mengembalikan kegemilangannya," kata beliau.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah LUAS Klang, Nor Zamri Sondor turut mengakui banyak perkara perlu dibuat untuk menjadikan Sungai Klang sebagai kategori kelas kedua.

Kelas Pertama ialah sungai yang airnya jernih, boleh minum tanpa rawatan, membasuh kain dan kegunaan harian. Kelas Kedua pula, air tidak berapa jernih tapi selamat untuk mandi dan airnya memerlukan rawatan biasa.

Kelas ketiga, airnya nampak bersih, tidak berbau tetapi kualitinya tercemar dan orangg ramai tidak boleh berenang tetapi boleh berkelah di tebing. Kelas Empat pula dianggap tercemar manakala Kelas Lima pula tercemar teruk dan tidak selamat untuk sebarang aktiviti.

"Kita akan mewujudkan sahabat sungai supaya kita dapat bersama-sama memantau dan membersihkan sungai itu. Kita tak mengggunakan aspek penguatkuasaan tetapi kita gunakan secara lembut, maknanya kita sama-sama menjaga," kata Nor Zamri.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan