Siapa Yang Fitnah Najib Dan Rosmah Langkah Mayat YB Zul Dulu

WFAUZDIN NS
MENARIK juga kita mendengar `nasihat' yang diberikan oleh `Mursyidul Am Bebas' MP dari Bandar Kulim Baru di Parlimen siang tadi. MP yang sinonim menggelar musuhnya sebagai `firaun kecil' siang tadi memberikan `kuliah' tentang fitnah. Apa yang dikatakan panas dan gempar oleh media pencacai Umno adalah `hikayat' dari YB Zul tentang adanya tawaran lumayan untuk beliau sekiranya beliau sanggup membuat akuan bersumpah membabitkan Najib dan Rosmah di dalam misteri pembunuhan Altantuya. Tawaran itu tentunya teramat besar sehinggakan YB Zul berkata boleh menggugat keimanannya.

Jangan kita persoalkan mengapa YB Zul tidak dedahkan sahaja siapa yang membuat tawaran sehebat itu kepadanya. Lupakan persoalan itu kerana kita tidak boleh memaksa YB Zul untuk bercerita atau berhikayat lebih lanjut. Kita cuma ingin bercerita pasal fitnah kerana saya bersetuju adalah salah besar sesiapa pun melakukan fitnah samada fitnah liwat mahu pun fitnah terlibat di dalam jenayah. Sepanjang pengetahuan saya yang sering mengikuti mana- mana ceramah dari PR, tiada seorang pun pemimpin dari PR yang menuduh Najib atau Rosmah terlibat di dalam pembunuhan Altantuya. Tetapi mengapa umum melihat seperti sepasang suami isteri ini terlibat?

Kita sering mendengar pimpinan PR mahukan Najib dan Rosmah menjawab beberapa isu yang releven untuk mereka jawab. Diketahui Najib tidak dipanggil memberi keterangan di mahkamah di dalam kes Altantuya sedangkan kesemua mereka yang dituduh ada kaitan rapat dengannya iaitu dua anggota keselamatan dan juga Razak Baginda. Bahkan alat atau bahan yang digunakan untuk tujuan pembunuhan itu juga adalah di bawah kawalan pasukan keselamatan. Jika bom C4 itu di bawah kawalan Kementerian Pertahanan, maka ketika itu Najib adalah Menteri Pertahanan dan releven untuk Najib hadir memberikan keterangan. Jika pegawai-pegawai keselamatan yang dituduh membunuh Altantuya itu pernah bertugas dengan Najib mahu pun Rosmah, releven juga Najib dan Rosmah untuk memberi keterangan. Razak Baginda dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Najib, maka pelik apanya jika Najib dipanggil untuk memberi keterangan. Malangnya Najib atau Rosmah tidak dipanggil, dan lebih mendukacitakan sehingga kini tiada siapa yang tahu motif pembunuhan tersebut.

Saya yakin YB Zul juga sependapat dengan kita semua bahawa tiada asas untuk menuduh Najib mahu pun Rosmah terlibat secara langsung di dalam kes ini, tetapi sepasang suami isteri ini mempunyai asas untuk memberikan keterangan. Sekurang-kurangnya, mereka mampu menghilangkan persepsi masyarakat terhadapnya. Bermain di fikiran kita, siapa yang mengarahkan Altantuya ini dibunuh dan yang paling penting mengapa Altantuya dibunuh? Lupakan dulu dua Akuan Bersumpah oleh Bala walaupun dikatakan Bala ada membuat Akuan Bersumpah yang baru menyebut nama sepasang suami isteri ternama ini. Semua ini memerlukan jawapan dari Najib dan tidak cukup dengan mengadakan sumpah seperti yang beliau lakukan di Permatang Pauh. YB Zul nampaknya bersetuju dengan kaedah sumpah untuk menafikan sebarang tuduhan.

Jelas, tiada siapa yang menuduh Najib terlibat di dalam kes ini tetapi sikap Najib dan Rosmah sendiri yang menimbulkan persepsi sedemikian rupa. Justeru itu, YB Zul jangan bersusah hati kerana Najib dan Rosmah tidak difitnah sebaliknya kita mahukan penjelasan dari keduanya tentang beberapa persoalan yang sepatutnya mereka mampu menjawab. Sebagai seorang Peguam, sepatutnya YB Zul merasa pelik sekiranya ada pembunuh telah disabitkan kesalahan tetapi tidak pula diketahui mengapa mereka melakukan pembunuhan itu.

Apa pun kita hormati prinsip YB Zul yang tetap pertahankan maruah Najib dan Rosmah. Mudah-mudahan jasamu akan dikenang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan