Tragedi Natrah Dedah Tembelang Umno

Yusmawati Mhd Yusof
SHAH ALAM, 12 MAC:
Gagal meraih sokongan orang Melayu dalam isu kalimah Allah, Umno-Barisan Nasional yang semakin tersepit, kali ini cuba memutar belit sejarah dengan memperalatkan sentimen agama, khususnya Tragedi Natrah.

Umno berlagak seolah-olah menjadi wira apabila membangkitkan isu Natrah yang kononnya menjadi titik tolak perpaduan di kalangan Melayu dalam mempertahankan kesucian Islam.

Sebaliknya, tindakan membangkitkan tragedi itu hanya membuka tembelang mereka berikutan umum mengetahui Umno lepas tangan ketika ramai tokoh pembangkang berjuang ketika mempertahankan akidah Natrah.

Tindakan Umno itu dikecam Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana orang Melayu tidak pernah bersatu dalam isu Natrah, malah pimpinan Umno memilih untuk menjaga hati penjajah British daripada memperjuangkan nasib gadis itu.

"Dalam isu Natrah sekalipun, orang Melayu tidak bersatu..dan Umno ditubuhkan pada 1946 dalam isu Natrah 1050 Umno diam membisu yang kedepan adalah Angkatan Pemuda Insaf (API), Kesatuan Melayu Muda (KMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan sebagainya termasuklah Prof Burhanuddin al-Helmy yang akhirnya ditahan penjajah hasil dari tindakan beliau dan keterlibatan beliau dalam isu Natrah ini,"katanya pada sidang medianya.

Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin sewaktu melancarkan buku bertajuk: Natrah, Cinta, Rusuhan dan Air Mata, menyatakan Umno turut serta bersatu dengan parti politik lain dalam mempertahankan kesucian Islam memperjuangkan nasib Natrah.

Khalid berkata, sikap membisu Umno ketika tragedi yang mengorbankan 12 orang itu tercetus, sekadar membuktikan kenyataan angkuh dan melulu pemimpin Umno hari ini, hanyalah mitos semata-mata.

“Nak tonjolkan isu Natrah sebagai isu menyatupadukan seluruh orang Melayu adalah satu pembohongan, sebenarnya Umno tidak ke depan dan saya cukup yakin pimpinan Umno pada masa itu berdiri bersama dengan kerajaan penjajah kerana hendak jaga kepentingan politik mereka.

“Kalau perpaduan Melayu benar-benar tercapai dalam isu Natrah, mungkin kerajaan British takkan berani untuk membenarkan apa yang berlaku untuk berlaku,”katanya.

Khalid berkata, tujuan Umno membangkitkan isu Natrah ini bagi mendorong penyatuan orang Melayu, sebaliknya, Pas dan Umno tidak mungkin bersatu kerana dasar perjuangan Umno lebih hina daripada dasar parti politik yang memperjuangkan keadilan sosial.

Katanya lebih mudah bersatu dengan parti yang dianggotai ahli bukan Islam yang memperjuangkan keadilan sosial daripada bekerjsama dengan parti yang dasarnya hanya menjurus kepada anasir perkauman yang nyata bercanggah dengan Islam .

“Hendak satukan Pas dengan Umno tidak boleh kerana walaupun sama Melayu dan sama Islam tapi dasar perjuangannya bercanggah. Dasar perjuangan Umno berpaksikan perjuangan bangsa Melayu semata-mata merupakan satu dasar yang terlalu sempit dan tidak ada persamaan dengan dasar perjuangan Islam yang nak menegakkan keadilan,”katanya.

Kenyataan Khalid itu terbukti melalui buku tulisan Haja Maideen berjudul ‘Tragedi Nadra’ yang terang-terangan menyatakan, Umno tidak membuat apa-apa sebagai sebuah parti malah mengambil sikap berkecuali.

Mengikut buku berkenaan, Presiden Umno ketika itu, Datuk Onn Jaafar enggan campur tangan kerana menganggap ia bukan isu politik, sosial mahupun keagamaan.

Sejak dulu hingga kini, Tragedi Natrah tidak ada dalam skema mata pelajaran sekolah, malah sebuah lagu berjudul Natrah yang mengisahkan tragedi itu, dendangan sebuah kumpulan rock, diharamkan penyiarannya.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan