KUALA LUMPUR, 6 Mac: Zulkifli Noordin yang dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini tidak akan membuat rayuan, malah tidak akan mengosongkan kerusi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang dimenanginya genap dua tahun lalu.
Beliau mahu menyertai tiga lagi rakannya yang sudah pun keluar PKR dan bertindak sebagai Ahli Parlimen Bebas.
“Tiada sebab mengapa saya harus membuat rayuan... mengapa saya harus kosongkan kerusi saya juga,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider sebentar tadi.
Majlis Pimpinan Pusat PKR memutuskan untuk memecat beliau petang ini.
Majlis Pimpinan Pusat PKR yang mengadakan mesyuarat tiga jam juga mengarahkannya agar mengosongkan kerusi Parlimen itu yang dimenangi pada 8 Mac 2008.
“Saya merasakan saya tidak membuat apa-apa kesalahan, saya berpegang kepada pendirian saya yang telah saya pun katakan selama ini,” kata Zulkifli merujuk kepada pendiriannya bahawa apabila mempertimbangkan antara agama dan parti, beliau akan mengutamakan soal agama.
Dengan keputusan Majlis Pimpinan Pusat itu kata Zulkifli, beliau telah “dipaksa untuk keluar parti”, bukannya “saya yang keluar parti.”
Sambil mengulangi kenyataan pagi tadi bahawa PKR “sudah menggali kuburnya sendiri”, Zulkifli meramalkan situasi ahli dan pemimpin keluar secara besar-besaran dari parti itu dalam waktu terdekat.
“Sebentar tadi saya turut menerima satu panggilan daripada seorang pemimpin kanan mengatakan sedih dengan keputusan dibuat parti selepas kami berjuang begitu lama dalam parti.
“Berdasarkan pandangan dia, saya dapat merasakan ramai kecewa dan boleh menjangkakan kesan yang mendalam terhadap parti,” kata beliau yang membuat persiapan untuk pergi ke kawasannya malam ini.
Sementara itu dalam tulisan blognya lewat petang ini, Zulkifli memberitahu hari ini adalah permulaan satu titik hitam dalam sejarah perjuangan reformasi yang bermula pada 2 Sept 1998.
“Ia juga adalah permulaan kepada kejatuhan dan kehancuran PKR.
“Ternyata perjuangan untuk memartabatkan nilai kemanusiaan, mengembalikan hak asasi manusia, dan mendaulatkan nilai dan prinsip-prinsip keadilan sejagat hanyalah sekadar laungan palsu.
“Keputusan ini juga membuktikan bahawa bagi firaun-firaun kecil yang menguasai PKR, ia adalah satu dosa besar yang tidak boleh dimaafkan bagi memartabat, membela dan mempertahankan Islam,” katanya lagi.
Zulkifli menambah, beliau dihukum tanpa diberi peluang membela diri menurut prinsip hak asasi kemanusiaan dan nilai keadilan sejagat seperti yang dilaungkan oleh kepimpinan PKR selama ini.
Kepantasan tindakan memecatnya, tegas Zulkifli, membuktikan kepalsuan slogan mereka.
“Sedangkan saya hanyalah sekadar menuntut hak asasi kemanusiaan dan nilai serta prinsip keadilan sejagat dipatuhi, dan prinsip tersebut mewajibkan seseorang hanya boleh dibicarakan oleh rakan sekufunya.
“Saya hanya menuntut dibicarakan oleh panel yang beragama Islam kerana isunya membabitkan kalimah Allah iaitu persoalan akidah, syariat dan agama Islam,” katanya.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat yang diadakan hari ini.
Zulkifli juga diberi tempoh 14 hari untuk merayu keputusan itu.
Zulkifli yang juga seorang peguam, dihadapkan kepada lembaga disiplin parti bagi menjawab isu berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap rakan sekutu dari PAS, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkenaan isu kalimah Allah dan kritikan beliau terhadap kepimpinan DAP khususnya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Kelmarin, Ahli Parlimen yang terkenal dengan tindakan ‘menentang arus’ dalam PKR itu memulaukan sidang lembaga displin yang membicarakan kesnya kerana membantah anggota panel terdiri daripada bukan Islam.
Pagi ini, Zulkifli menerusi surat terbuka di dalam blognya sekali lagi merayu anggota majlis pimpinan pusat PKR agar memberi peluang kepada beliau membela diri di hadapan panel disiplin beragama Islam berhubung isu yang dibangkitkan.
-malaysianinsider-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan