Anwar: Jangan mangsakan penyokong BN

Penasihat ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan ahli majlis kerajaan tempatan di negeri itu supaya tidak menjadikan pengundi yang menyokong BN sebagai 'mangsa'.

Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, pentadbiran kerajaan Selangor tidak sepatutnya mencontohi kaedah yang dilakukan kerajaan persekutuan.

"(Mereka) kalau nampak orang PAS, dari jauh lagi dia sekat. Masa saya jadi menteri dulu lagi saya tegur.

"Saya kata kalau orang PAS benci kepada Umno, mustahil dia akan sokong kalau ada sikap seperti ini," kata Anwar.

Jelasnya, amalan seperti itu dikesan berlaku di negeri Kedah sebelum ini.

"Tiang elektrik ada, lampu ada, tapi bila sampai dekat kampung PAS, lampu tak ada," katanya lagi di majlis yang diadakan di sebuah dewan di Batang Kali pagi ini.

Bercakap dalam sesi dialog dengan kira-kira 200 orang ahli majlis berkenaan, beliau juga memberi contoh usaha yang dijalankan Selangor dalam mengambil alih pengurusan air di negeri itu.

"Saya ditugaskan untuk melihat memorandum tentang air.

"Saya tahu sebab dulu saya menteri. Semua perjanjian yang dibuat adalah untuk memperkukuhkan kedudukan persekutuan," katanya.

Jelasnya lagi kerajaan Selangor juga mempunyai bidang kuasa yang lebih kecil dalam menghadapi situasi tersebut.

"Di negeri kita cuma ada penasihat undang-undang, tapi di (peringkat) persekutuan mereka ada peguam negara," katanya.

Di majlis itu juga beliau menerima memorandum mengandungi senarai masalah yang dihadapi oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Yang Dipertua MDHS, Tukiman Nail.

Tukiman sebelum ini menerima 'penghinaan' daripada Datuk Seri Mohd Khir Toyo - menteri besar ketika itu - apabila 'dihadiahkan' sebatang penyapu ekoran prestasinya MDHS yang kurang memuaskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan