Apa Lagi Orang Cina Mahu? - Kolumnis Utusan

Erapakatan (Noor Safinas)

KUALA LUMPUR: Kegagalan meraih sokongan orang Cina dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor baru-baru ini terus menghantui Umno dan sekutunya. Bagai tiada isu untuk dimainkan, akhbar pro-Umno sekali lagi membangkitkan isu perkauman dengan menyerang 'orang Cina Malaysia' secara halus.

Tindakan sebahagian besar orang Cina yang tidak mahu kembali kepada parti kerajaan dilihat bukan sahaja mewujudkan rasa tidak puas hati kerajaan, malah jika diperhalusi, menimbulkan kebimbangan yang terlampau pada parti itu.

Kolumnis kontroversi Utusan Malaysia, Cuit Zaini Hassan, dalam tulisannya ' Orang Cina Malaysia, Apa Lagi Yang Anda Mahu?' cuba meniup api perkauman dengan mempertikaikan kemewahan dan kesenangan yang diperolehi orang Cina di Malaysia.

"Orang Cina di Malaysia hidup lebih daripada biasa-biasa," lapornya.

Zaini dalam tulisannya juga dcuba menakut-nakutkan orang Melayu dengan membayangkan sejarah tragedi 13 Mei, perarakan penyapu, sikap cauvinis dan gelombang bawah tanah yang bakal berulang sekiranya rakyat tidak berhati-hati dengan DAP.

"Saya juga sering mengaitkan cita-cita DAP yang mahu 'pulun' semua sekali pengaruh Cina di negara ini," akui penulis itu.

Sama seperti ucapan beberapa pemimpin Umno sebelum ini, isu kerakyatan dan sejarah kehadiran orang Cina ke tanah melayu tidak pernah diabaikan.

"Ternyata, percaturan datuk moyang mereka dulu berbaloi. Mereka dapat apa yang mereka mahukan. Mereka hidup mewah di bumi bertuah Malaysia ini.

"Malah, bukan Malaysia sahaja, Singapura pun mereka kuasai sepenuhnya. Singapura bukanlah negara asal mereka. Orang Cina Singapura pun asalnya adalah dari tongkang yang sama bersama-sama orang Cina Malaysia," katanya seperti dipetik media.

Menurutnya, pilihan raya umum 2008 bukanlah satu ujian sebenar bagi proses demokrasi di negara ini dan ia terjadi hanyalah kerana kecelaruan fikiran orang Melayu ketika itu.

DAP dituduh mencuri peluang itu dan mengakibatkan tsunami politik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia.

"Apa lagi yang mereka mahu? Apakah mereka masih merasakan merekalah penentu kepada sesuatu keputusan pilihan raya di negara ini?" tulis kolumnis itu.

Selain itu, kenyataan Lim Kit Siang dalam ucapannya di rapat umum penutup selepas keputusan PRK Hulu Selangor diumumkan turut dimainkan.

"Lim memberitahu para hadirian yang rata-rata terdiri daripada orang Melayu, keputusan itu sebenarnya ialah kejayaan kepada 'rakyat' Hulu Selangor.

"Tanpa mahu menyentuh perasaan orang Melayu di situ, beliau sebenarnya merujuk 'rakyat' itu sebagai orang Cina Hulu Selangor yang rata-rata tidak memberi undi kepada BN, tapi sebaliknya memihak kepada DAP," petik media lagi.

Perbandingan yang dilakukan Zaini dalam tulisannya turut menyentuh soal pendidikan dan pekerjaan.

"Kebanyakan pelajar-pelajar di kolej-kolej swasta yang terbaik di Malaysia dipenuhi oleh pelajar-pelajar Cina. Orang Melayu hanya mampu ke kolej milik kerajaan dan yang tidak ternama. Pusat-pusat membeli belah di kompleks-kompleks ternama di Malaysia dipunyai oleh orang Cina.

"Di organisasi korporat dan swasta, orang Cinalah yang menguasainya. Orang Melayu boleh di bilang jari dan pekerja bawahan. Malah, kini mahu mohon kerja di situ pun perlu faham cakap Mandarin, sebagai prasyaratnya," ujar Zaini dalam tulisannya.

http://www.erapakatan.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan