Bahagi kutipan hasil kepada negeri asal

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 13 April: Muhammad Husain (gambar) (PAS-Pasir Puteh) mencadangkan agar satu jawatankuasa pemantau ditubuhkan mengenai perjanjian di antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya tidak berlaku ketidakadilan terhadap negeri khususnya Kelantan.

Beliau mencadangkan demikian sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu ditubuhkan bagi menilai sejauh mana perjanjian berkenaan dipatuhi oleh kerajaan Pusat khususnya dalam pembahagian hasil-hasil kutipan dari setiap negeri.

"Oleh kerana negeri Kelantan banyak hasil dan dari segi perlembagaan persekutuan, hasil-hasil dikutip oleh pusat, tidak diberi kepada negeri.

"Saya mencadangkan agar ada jawatankuasa pemantau untuk menilai sejauh mana hasil-hasil ini atau perjanjian federalisme ini dipatuhi oleh kerajaan pusat supaya tidak berlaku tidak adil kepada kerajaan negeri," katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop bagaimanapun berkata, perkara itu tidak berkaitan dengan apa yang sedang dibincangkan.

Ditemui selepas itu, Muhammad juga meminta kerajaan pusat memberikan royalti kepada setiap hasil negeri yang dikutip oleh kerajaan pusat supaya lebih adil kepada kerajaan negeri.

"Saya minta supaya satu bahagian macam royalti diberikan dalam segala kutipan hasil kerajaan negeri. Mesti ada peratusyang diberikan kepada kerajaan negeri seperti royalti petroleum," katanya.

Dalam soalan asalnya, beliau meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan hasil daripada kutipan saman trafik bagi negeri Kelantan dari tahun 1995 hingga 2010

Abu Seman dalam jawapannya memberitahu, dari tahun 1995 hingga Februari 2010 sebanyak 2,303,835 saman telah dikeluarkan oleh PDRM atas pelbagai kesalahan lalu lintas di negeri Kelantan.

Daripada jumlah ini, sebanyak 1,048,805 atau 45.5 peratus saman telah dijelaskan oleh pesalah-pesalah trafik di negeri tersebut, mahkala jumlah hasil kutipan kompaun dari bayaran saman ini pula adalah sebanyak RM124,606,130 (RM124.6 juta).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan