Wan Nik Wan Yussof |
Berdasarkan pengalaman Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh Ogos 2008, strategi kempen yang menyerang peribadi calon parti KeADILan, DS Anwar Ibrahim ternyata memakan tuan. Barisan Nasional telah kalah teruk, dengan ketinggalan sebanyak 16,127 undi. Antara isu utama yang digunakan menyerang peribadi Anwar ialah isu liwat Saiful, pengkhianat Negara, agen Yahudi dan menggunakan bekas orang kanannya, Ezam menghentam Anwar dari segenap penjuru. Pun begitu, kesemua strategi Barisan Nasional itu dilakukan dalam lingkungan medan tempur parlimen Permatang Pauh adalah kubu kuat Pakatan Rakyat, terutama di DUN Permatang Pasir yang juga kubu kuat PAS. Namun, senario tempatan antara Hulu Selangor dengan Permatang Pauh adalah berbeza. Bila mana Hulu Selangor adalah kubu Barisan Nasional. Meskipun kubu itu pernah robek pada pilihan raya umum 2008 lalu. Berpandukan prestasi Pakatan Rakyat pada pilihan raya lepas (lihat Jadual 1), modal undi parlimen Pakatan Rakyat hanya 23,177. Daripada jumlah ini 3,285 disumbangkan oleh undi peribadi calon. Ini kerana modal undi Pakatan Rakyat di DUN-DUN hanya 20,108 sahaja. Berdasarkan gambaran sokongan kalangan pengundi mengikut kaum, pada pilihan raya umum 2008 Pakatan Rakyat mendapat kira-kiranya Melayu 46 peratus, Cina 70 peratus, India 34 peratus dan pengundi Asli 25 peratus. Jika pecahan sokongan antara kaum ini berkekalan maka Pakatan Rakyat akan mencapaikekalahan tipis seperti gambaran analisis data berikut (Jadual 2). Di antara faktor yang memungkin berlaku kekalahan tipis ialah calon BN akan mendapat undi simpati lebih tinggi berbanding calon Pakatan Rakyat. Ini disebabkan calon BN dilihat rapat dengan pengundi dan belum pernah menjadi wakil rakyat dan tiada isu-isu peribadi. Berbeza dengan Zaid yang pernah menduduki parlimen dan kabinet, dan dilihat sebagai orang luar serta mempunyai banyak isu kontroversi. Andaian keluar 75 peratus, dalam keadaan Pakatan Rakyat mendapat sokongan pengundi Melayu 45 peratus, pengundi Cina 75 peratus, pengundi India 35 peratus dan sokongan pengundi Asli 25 peratus. Maka Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan tipis seperti analisis keputusan yang berikut (Jadual 3): Di antara faktor yang memungkinkan sokongan tinggi kalangan pengundi Cina adalah disebabkan pengaruh peribadi Zaid, kegagalan MCA berperanan selepas berlaku krisis dalaman dan peranan DAP di dalam memantapkan sokongan. Tidak kurang juga keupayaan melonjakkan undi kalangan pengundi bukan Melayu disebabkan peranan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang bertemu pengundi baru Cina dan India pada saat akhir kempen. Pada sudut pandangan yang lain pula, ada penganalisis meletakkan ukuran Barisan Nasional boleh menang selesa apabila berupaya mengepung pengundi Melayu melalui pelbagai pendekatan. Antaranya taburan janji, habuan duit poket dan politik paksa yang berupaya memukau pandangan pengundi serta membelakangkan sumbangan kebajikan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor seperti tabung warisan anak Selangor, skim mesra usia emas dan bekalan air percuma pada had 20 meter padu serta beberapa program lagi di bawah merakyatkan ekonomi Selangor. Berpandukan pilihan raya kecil Permatang Pauh, kelebihan atas nama kerajaan negeri dikuasai Pakatan Rakyat, sedikit sebanyak boleh mengimbangi strategi Barisan Nasional yang berkempen menggunakan jentera kerajaan. Keyakinan rakyat dapat menerima dan terikat dengan program kebaijkan yang ditawarkan. Ia adalah kekuatan yang boleh menawan hati sebahagian pengundi, khasnya pengundi atas pagar dan peneroka Felda. Kesemua faktor ini memungkinkan Pakatan Rakyat mencapai kemenangan tipis. Walau bagaimanapun, kesemuannya bergantung kepada kempen saat akhir pada 24 April. Hanya Tuhan Yang Esa sahaja yang maha menentukan. Manusia sekadar berusaha dan bertawakal. Penulis ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan merangkap Timbalan Pengarah 1, JPN PAS Kelantan. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan