Invois palsu: Pembantu exco S'gor dibebaskan

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini membebaskan pembantu kepada exco Selango, Ronnie Liu - Wong Chuan How daripada dakwaan pecah amanah berhubung pembelian bendera kecil.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Wong, 50, mengemukakan invois palsu bernilai RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang mengenai pembelian bendera mini yang tidak pernah dihantar.

Dalam penghakimannya, Hakim Azhaniz Teh Azman Teh berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie dan mengarahkan Wong dibebaskan.

Beliau juga mengarahkan wang jaminan RM5,000 dipulangkan kembali kepada tertuduh.

Sementara itu, menurut timbalan pendakwa raya, Mohd Josiendra Abu Senin, SPRM akan merayu keputusan penghakiman itu.

Wong yang ditemui wartawan pula berkata beliau yakin dia akan dibebaskan berhubung dua lagi tuduhan yang serupa.

Dia dikenakan tuduhan tambahan menurut seksyen 406, Kanun Jenayah atas kesalahan pecah amanah membabitkan dua cek bernilai RM2,500 dan RM5,000.

Penahanan Wong adalah sebahagian daripada siasatan SPRM ke atas 20 ahli parlimen Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan kerajaan kepada kawasan mereka.

Dia didakwa pada 3 Nov tahun lalu bersama empat yang lain, termasuk ahli parlimen Sabak Bernam daripada Umno, Abd Rahman Bakri.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan