Isu Papan Tanda Provokasi, Umno BN Wajar Contohi Pakatan Rakyat

HULU SELANGOR 20 APR: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurun papan tanda yang memaparkan serangan peribadi dan provokasi terhadap pimpinan Pakatan Rakyat, membukti Umno Barisan Nasional (BN) tidak matang dalam berpolitik.

Sebaliknya, kempen Pakatan Rakyat lebih tertumpu kepada usaha kerajaan Selangor membela rakyat, tanpa memburuk-burukkan peribadi lawan, apatah lagi mengadakan fitnah sepertimana pelakuan Umno-BN.

Pengarah Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap tindakan SPR itu dapat menyedarkan UmnoBN yang masih menggunakan strategi kotor dan ketinggalan zaman.

Sebaik sahaja proses penamaan calon Sabtu lalu, pengikut Umno BN secara agresif menaikkan pelbagai papan tanda dan kain rentang atau mengedar risalah yang memburuk-burukkan imej calon Pakatan Rakyat.

Antaranya, memaparkan gambar calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim minum arak sebenarnya diubah suai.

Ketua Pembangkang merangkap Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut terkena tempias, apabila gambarnya tertulis dengan huruf besar kononnya pengkhianat negara.

“SPR turunkan iklan atas desakan pemimpin yang malu dengan cara yang dibuat. Itu bukan cara yang terbaik. PKR tidak buat cara begitu,” katanya yang menyambut baik usaha SPR itu.

Minggu lalu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan polis berhubung papan tanda fitnah itu.
Sayap Pemuda PKR itu bertemu SPR dan menggesa suruhanjaya itu mengekang kempen tidak bermoral Umno-BN

“Saya berharap perkara begini tidak lagi berlaku. Mencerca, memfitnah. Dalam dua tahun kerajaan Selangor mentadbir, kita tidak ada masa untuk mencerca tetapi mempertingkatkan pembangunan rakyat," katanya.

Seterusnya, Khalid yang juga Menteri Besar Selangor itu berharap pimpinan Umno BN mengambil iktibar atas tindakan SPR itu dan mencadangkan mereka mencontohi kematangan Pakatan Rakyat dalam berkempen.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan