Kami sudah jangka Halili akan keluar parti, kata PKR

HULU SELANGOR, 19 April: “Kami telah jangkakan beliau keluar parti, sebab itu kami tidak memilihnya sebagai calon”.

Ini merupakan reaksi spontan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Bendahari PKR Hulu Selangor Dr Halili Rahmat mengumumkan keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.

“Kami telah menjalankan kaji selidik mengenai latar belakang dan kami dapati beliau bukan seorang calon yang baik. Kenapa bukan calon yang baik? Saya tidak bercadang mendedahkannya. Sebab itu kenapa kami tidak memilihnya,” kata ketua penerangan PKR Latheefa Koya.

Latheefa berkata mereka telah mendengar khabar angin bahawa pakar bedah itu mahu keluar daripada parti itu apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim diumumkan sebagai calon parti bagi pilihan raya kecil ini Selasa lepas.

“Kami tidak terkejut. Jadi kami telah membuat keputusan yang tepat untuk tidak memilih beliau,” katanya kepada pemberita di Kuala Kubu Baru di sini hari ini.

Dr Halili (gambar), anak jati Hulu Yam di sini dan pernah menjadi doktor peribadi kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil tetapi sebaliknya kepimpinan parti itu memilih Zaid.

Keputusan Dr Halili itu merupakan perkembangan terbaru dalam rentetan tindakan para pemimpin bahagian dan wakil rakyat PKR untuk keluar parti itu tahun ini.

Bagaimanapun, Latheefa berkata, tindakan keluar parti itu tidak memberi sebarang kesan kepada PKR dalam menghadapi pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Pilihanraya kecil itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional P. Kamalanathan, Zaid dan seorang calon Bebas Johan Mohd Diah, seorang anggota jawatankuasa Pemuda Umno Shah Alam Umno manakala seorang lagi calon bebas V.S. hari ini mengumumkan menarik diri daripada bertanding.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac akibat barah otak.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan