Kempen sengit di Hulu S'gor

Sepanjang lapan hari kempen pilihan raya kecil, calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan calon BN P Kamalanathan telah ditimbang, diukur, dibandingkan dan menjelang esok, nasib kedua-dua mereka akan ditentukan oleh penduduk Hulu Selangor.

Setelah diasak dengan pelbagai maklumat, dakwaan yang sesetengahnya bersifat tohmahan dan dipujuk rayu dengan pelbagai janji serta sogokan wang, hadiah dan sebagai sejak seminggu lalu, esok, lebih 65,000 pengundi dari pekan kecil ini akan diberi peluang untuk menyatakan pilihan mereka untuk mewakili Hulu Selangor di Dewan Rakyat.

Setip satu undi merupakan pemberat yang boleh merundung neraca ke mana-mana calon di dalam pertimbangan untuk mengisi kekosongan kerusi parlimen ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Lumrahnya, pada
setiap kali pilihan raya, kedua-dua BN dan juga Pakatan tidak boleh mengaku sebagai pihak yang tak berdosa. Kedua-dua pihak dilihat melakukan taktik mentaliti ahli parlimren dunia ketiga.

Sebelum tarikh penamaan calon lagi, kedua-dua pihak mula merangka strategi dan disusuli dengan tembakan tepat sinis, ledakan isu serta letupan kesumat unjuran kempen. Semuanya, semata-mata untuk memancing undi.

Bibit-bibit pertama tohmahan adalah serangan peribadi. Kedua-dua belah 'memukul' calon pihak lawan dengan pelbagai tohmahan yang mengaibkan.

Peribadi Zaid diserang, diconteng dengan cerita “arak” dan “judi”, manakala Kamalanathan dituduh “keturunan sedarah Samy Vellu”, “memiliki ijazah palsu”, “berasal-usul kuli estet” dan “pengundi hantu Sg. Siput”.

Jika mengikut cerita BN, Kamalanathan adalah “bersih dan peramah” manakala Zaid dilabelkan sebagai “sombong dan jijik”. Tetapi Pakatan menyangkal dakwaan itu dan berhujah bahawa Zaid telah “bertaubat” tetapi sebaliknya mendakwa Kamalanathan adalah calon yang “penuh dengan keraguan”.

Seterusnya muncul pula janji-janji manis yang ditaburkan, pelbagai kenduri, majlis makan diaturkan serta hadiah-hadiah yang turun dari langit. Semuanya adalah “anugerah” dari kerajaan persekutuan yang dikawal BN serta negeri Selangor yang dikuasai Pakatan.

Geran tanah yang sekian lama tergendala mengunjung secara tiba-tiba, projek pembangunan terbengkalai sejak bertahun-tahun lalu yang tidak diambil peduli - diberi tumpuan khas, malahan wang peruntukan yang kering kembali mengalir deras.

Tiada ceruk yang tidak dilawati, manakala BN dan Pakatan masing-masing mendekati segenap pelusuk dan pinggir mencari permasalahan rakyat untuk dijuarai. Dari kamgpung Orang Asli ke penempatan Felda, hingga ke pelusuk tanah dan kampung terpencil.

Sepertimana di dalam semua pilihanraya, Hulu Selangor juga, melihat pengundi menadah tangan meraut keuntungan.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan