Michael Jackson bunuh diri: Conrad Murray

Doktor Conrad Murray yang didakwa membunuh Michael Jackson dilapor akan membela dirinya dengan mendakwa raja pop itu menyuntik dirinya dengan Propofol ketika dia keluar dari bilik tidurnya.

Laman web selebriti Amerika Syarikat,TMZ melaporkan, Murray dijangka memberitahu mahkamah bahawa dia meninggalkan Michael selama dua minit ketika penyanyi itu tidur untuk ke bilik air di kediaman bintang pop berkenaan di Los Angeles.

Michael bangun dan mengambil botol mengandungi 20 mililiter ubat berkenaan yang terletak di atas almari sebelah katilnya.

Penyanyi itu kemudian menyuntik ubat tidur itu menyebabkan dia diserang sakit jantung yang teruk dan botol yang digenggamnya jatuh ke lantai.

Murray berkata, apabila dia kembali ke bilik itu, dia mendapati mata Michael terbeliak dan cuba memberiakan bantuan CPR sambil menjerit meminta bantuan.

Menurut TMZ, dalam perbicaraannya lewat tahun ini nanti, peguam Murray juga akan menggunakan contoh ketagihan Michael terhadap Coca-Cola bagi membela doktor itu.

Sumber yang biasa dengan strategi pembelaan memberitahu TMZ, peguam Murray akan membuktikan bahawa Michael adalah selebriti yang tidak mendengar nasihat yang mahu memperoleh sesuatu jika dia inginkannya walaupun ia mendatangkan mudarat kepadanya.

Michael meminum begitu banyak Coca-Cola walaupun tahu ia mengandungi sejumlah besar kafeina yang akan menyukarkannya untuk tidur.

Apabila tidak dapat tidur, peguam Murray berkata, Michael akan meminta diberikan Propofol sebagai cara untuk membolehkannya melelapkan mata.

–Agensi/selatanonline-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan