Minum arak: Hisham minta jangan kaitkan Umno

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan pembabitan Umno dalam mengaitkan Datuk Zaid Ibrahim, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan tabiat suka meminum arak.

Beliau yang juga menteri keselamatan dalam negeri berkata, PKR seharusnya tidak cepat melatah dengan menuduh Umno dalang disebalik tuduhan yang berlegar di dalam blog kerana apa yang tertulis adalah tuduhan peribadi penulis, bukannya Umno.

"Dulu mereka gunakan maklumat-maklumat di dalam blog untuk mengiakan tuduhan dan hujah mereka terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN). Pada masa tu kita tidak pula suruh mereka membuktikannya.

"Nak suruh kita buktikan memang tak masuk akal kerana bukan kita yang tuduh macam tu. Kenapa dia nak takut dan gelabah sangat kalau ia tak benar," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai cabaran pemimpin PKR agar Umno membuktikan tuduhan di dalam blog tersebut.

Beliau sebelum itu menghadiri Program Bersama Rakyat di Taman Sri Cahaya, Batang Kali di Hulu Selangor yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Alwi Ibrahim dan Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali Mohd Isa Abu Kassim.

Semalam, Naib Presiden PKR Azmin Ali dilaporkan mencabar Umno supaya membuktikan dakwaan bahawa Zaid mempunyai tabiat buruk termasuk suka meminum arak.

Hishammuddin berkata, cabaran pembangkang itu jelas menunjukkan mereka semakin terdesak untuk meraih sokongan kepada Zaid untuk pilihan raya 25 April ini selain kegusaran mereka terhadap pendekatan BN yang semakin diterima majoriti penduduk di Hulu Selangor.

"Dunia ini bulat...apa yang dia (pembangkang) sebelum ini guna untuk tuduh kita, sekarang ini dah terbalik terkena pada muka mereka sendiri," katanya.

Hishammuddin berkata, pembangkang juga kelihatan ketandusan idea kerana berterusan menggunakan isu Apco bagi menyerang kerajaan, bukannya menerangkan pendekatan yang akan diambil bagi memajukan kawasan dan membela rakyat.

B
eliau berkata, isu tersebut sebenarnya sudah selesai dan rakyat telah diberitahu bahawa siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tidak ada warga Israel terbabit dalam pembangunan projek Sistem Laporan Polis (PRS) di Bukit Aman seperti didakwa pembangkang.

Bagi membuktikan ketelusan, Kementerian Dalam Negeri, katanya, telah mengambil empat langkah, termasuk membuat laporan polis berhubung kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa terdapat perisik Israel di Bukit Aman.

Katanya, beliau juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuka kertas siasatan serta membawa perkara itu ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain mengesyorkannya untuk diteliti Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Ahli Parlimen.

Hishammuddin juag menganggap isu tersebut hanyalah mainan pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat di atas kegagalan mereka membawa perubahan kepada negeri Selangor secara umum dan Hulu Selangor khasnya.

"Itu biasa, apabila mereka ketandusan perjuangan dan isu pokok yang boleh menyentuh jiwa dan sanubari rakyat seperti apa yang kita lakukan, maka mereka tak ada pilihan lain selain membuat tuduhan kepada kerajaan pusat dan menyerang peribadi pemimpin-pemimpin BN," katanya

Terdahulu, Hishammuddin menyerahkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan, sijil warganegara dan daftar lewat kelahiran kepada 15 orang penduduk.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan