Pendidikan seks: Pemuda PAS sokong Dr Mahathir

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 April
: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa pendidikan seks di sekolah tidak perlu dilaksanakan.

Ketua Penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz setuju dengan cadangan Tun Dr Mahathir supaya memadai dengan pendidikan Islam diajar dengan bersungguh-sungguh bagi membendung budaya negatif di kalangan remaja.

"DPPWP berpandangan bahawa subjek khas pendidikan seks tidak mampu menyelesaikan masalah gejala sosial yang berlaku khususnya masalah zina, maksiat, rogol dan pembuangan bayi.

"Pendidikan seks hanya mengenalkan remaja tentang persoalan seks dan masalahnya sahaja tetapi tidak dapat memahamkan persoalan hukum berkaitan dengan seks," kata Suhaimi dalam kenyataannya.

Katanya, umum mengetahui remaja pada hari ini sangat jahil terhadap agama. Kebanyakan kes yang berlaku seperti zina dan pergaulan bebas adalah berpunca dari kejahilan mereka terhadap agama seperti hukum halal dan haram.

Bagi beliau, remaja menganggap persoalan aurat dan pergaulan bebas adalah perkara remeh dan tidak penting.

Akibatnya mereka gagal mengawal diri mereka lalu menjerumuskan diri mereka ke lembah maksiat, katanya.

Malangnya, kata beliau, sistem pendidikan di sekolah-sekolah yang tidak menitikberatkan pendidikan Islam menjadi sebab remaja terus berada dalam kejahilan.

Yang dikesalkan, silibus pengajian Islam di sekolah-sekolah masih tidak mampu untuk memahirkan pelajar perkara yang berkaitan dengan rukun Islam seperti solat, zakat, puasa, haji serta amalan lain seperti membaca al Qur’an, menutup aurat dan lain-lain lagi, katanya.

"DPPWP meyakini hanya penerapan ajaran dan pendidikan Islam secara komprehensif dalam sistem pendidikan di sekolah mampu membendung gejala maksiat dan zina.

"Justeru, DPPWP menggesa kerajaan agar menimbang semula cadangan pendidikan seks di sekolah, sebaliknya DPPWP menggesa kerajaan agar menerapkan pendidikan Islam secara komprehensif dalam sistem pendidikan di sekolah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan