Pilihan Raya Kecil Bn Mabuk kuasa di Hulu Selangor

Mustafa K Anuar

Kisah calon pilihanraya kecil Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zaid Ibrahim minum arak di masa beliau muda telah dijadikan isu hangat masa kini. Isu ini dilaporkan digembar-gembur oleh parti lawan, iaitu UMNO Baru/BN, yang bertujuan untuk meraih undi Melayu-Muslim di Hulu Selangor dengan harapan mereka akan merasa "mual" dengan perbuatan Zaid yang lalu itu.

Memanglah minum arak adalah satu perbuatan yang tidak direstui oleh agama Islam, dan sudah tentunya boleh "mencuit hati" orang ramai khususnya yang beragama Islam. Sesungguhnya, minum arak adalah antara "dosa" yang harus dielakkan oleh orang Islam sepertimana mereka perlu jauhkan diri dari perbuatan rasuah, menipu, menindas, membunuh dan memberi layanan berat sebelah (favouritism), antara lain, yang boleh menghasilkan sebuah masyarakat yang tidak adil dan porak peranda.

Tetapi Zaid telah bertaubat, dan mengungkit-ungkit amalan masa lampau beliau adalah sesuatu yang boleh diinterpretasikan, sepertimana yang telah dilakukan oleh beberapa pemerhati politik dan tokoh politik seperti Presiden Pas Hadi Awang, sebagai usaha untuk sengaja mengaibkan beliau di khalayak ramai amnya dan pengundi Hulu Selangor khususnya.

Lagipun, Zaid telahpun mengaku akan perbuatannya masa lalu itu, dan telah bersikap insaf.

Bukan itu sahaja, beliau tidak mahu "melancarkan" serangan peribadi sebagai satu respons terhadap ahli politik UMNO Baru khususnya walaupun beliau tahu siapa dalam UMNO Baru yang "berkecimpung" dalam "alam arak dan judi". Ini adalah satu pendekatan gentleman yang diambil oleh Zaid, dan harus dihargai.

Namun, nampaknya ini tidak melemahkan semangat pihak lawan untuk terus melekatkan label "peminum arak tegar" kepada Zaid. Perbuatan seperti ini hanya menebalkan lagi syak wasangka umum bahawa pihak lawan begitu terdesak (desperate) dan mabuk kuasa hingga sanggup berbuat sesuatu yang melampaui batas.

Harus juga disentuh di sini, iaitu perbuatan sebilangan penyokong PKR, kalaupun tidak Pakatan Rakyat, melawan balik "serangan peribadi" ini dengan kaedah yang sama adalah sesuatu yang bercanggahan dengan ketertiban politik Zaid. Lagipun, tidak perlu bagi mereka terjerumus dalam lembah politik murahan dengan pihak lawan.

Ini kerana perbuatan aib-mengaib ini mempunyai implikasi, antara lain, mengalihkan isu besar dan penting dari pandangan umum di Hulu Selangor khususnya. Seperkara lagi, perbuatan ini juga meletakkan mainan politik Malaysia di takuk yang lama, iaitu bercorak peribadi, remeh temeh dan primitif - dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi.

Kempen pilihanraya di Hulu Selangor ini seharusnya memperkatakan isu-isu yang harus diketengahkan dan ketahui umum. Misalnya, isu tempatan seperti tanah rizab untuk Orang Asli di kawasan Hulu Selangor, lebih-lebih lagi bagi mereka yang terpaksa berpindah dari tempat asal usul mereka disebabkan "projek pembangunan" tertentu. Bukan itu sahaja, perihal keperluan asas untuk mereka, seperti kemudahan perubatan, persekolahan dsb.

Selain dari itu, calon parti yang berkenaan perlu juga membincangkan hal pembangunan bagi orang Hulu Selangor secara komprehensif. Ini bukan sekadar memberi basikal atau mendirikan jalan bertar pada kadar sekelip mata sebelum berakhirnya proses pilihanraya kecil ini.

Ataupun, hal pembangunan yang seharusnya dilaksanakan di merata-rata tempat selagi ada penduduk yang memerlukannya tanpa mengira bulu, iaitu Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, dan tidak kira Cina, Melayu dan India, dan di Sabah dan Sarawak, Iban, Melanau ataupun Kadazandusun, antara lain.

Dalam konteks inilah seharusnya ditekankan betapa pentingnya keadilan bagi semua orang yang bermastautin di negara ini. Di sini juga boleh diselitkan isu amalan politik perkauman yang patut dikecam oleh umum kerana ketidakadilan lebih-lebih lagi dalam hal pembangunan negara yang berpaksikan etnisiti (atau kaum) boleh menimbulkan suasana dan corak kehidupan yang mengaibkan bagi sesetengah kelompok manusia.

Isu pertanggungjawapan atau accountability dalam kalangan ahli politik dan pemimpin politik juga perlu diketengahkan kerana tanpa prinsip ini, banyak salah laku seperti rasuah dan ketidakadilan oleh ahli politik akan masih berleluasa. Harus ditekankan di sini bahawa rasuah (yang lazimnya dilakukan oleh orang Islam-Melayu) melibatkan wang rakyat yang dibazirkan demi kesejahteraan beberapa kerat kelompok politikus, wang yang seharusnya digunakan untuk kebahagiaan rakyat jelata.

Tidak juga kurang pentingnya ialah isu kebebasan bersuara dan media, kerana tanpa kebebasan ini rakyat tidak akan dapat ketahui dengan lebih rapi bagaimana wang mereka dipergunakan oleh orang yang dipertanggungjawabkan untuk memerintah dan membangunkan negara ini. Lagipun, rasuah akan masih berleluasa selagi media tidak bebas untuk menjalankan kewartawanan siasatan dan membuat pemimpin politik bertanggungjawab terhadap tindakan dan dasarnya.

Isu-isu seperti apa yang dibentangkan di atas seharusnya tidak ditenggelami oleh arus kemabukan politik dan kuasa yang telah melanda masyarakat kita masa kini. Apakah mereka yang masih kemabukan kuasa dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) layak untuk mengkritik Zaid Ibrahim, yang telah menjauhkan diri daripada "dosa ini" sejak September 2008?.MerdekaReview

*Mustafa K Anuar ialah seorang pemerhati budaya, masyarakat dan slogan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan