Pilihan Raya Kecil “Saya bukan malaikat”

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau melakukan kesalahan di masa lampau, sambil menegaskan beliau tidak sempurna seperti malaikat.

“Saya sudah perjelaskan kehidupan saya sebelum ini. Saya bukan malaikat dan saya tidak ‘sesempurna’ macam pemimpin UMNO. “Saya ada kelemahan pada usia muda dahulu,” katanya ketika ditemui selepas solat Asar di masjid di Kerling di sini, semalam.

Katanya, walaupun beliau sebelum ini pernah melakukan kesalahan, namun beliau tidak pernah melarikan diri.

“Kalau mereka (UMNO) nak ungkit, ungkitlah. Saya dah minta maaf kepada Allah dan saya dah minta maaf kepada orang Selangor.

“Itu terpulanglah kepada mereka nak mainkan isu ini (dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor) kerana mereka ini sempurna seperti malaikat,” katanya.

: Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Progresif Penduduk, Datuk Nik Sapeia Nik Yusuf, yang mendesak beliau ber:sumpah berhubung tuduhan minum arak.

Zaid berkata, tidak ada perkara yang penting dalam hal untuk melakukan sumpah.

:“Apa nak sumpah sumpah. Suruh orang-orang UMNO yang minum arak sumpah dulu. Sumpah itu antara saya dengan Allah.

“Saya tidak hipokrit macam pemimpin UMNO. Apa yang silap silaplah, dan saya tidak pernah lari. Bila saya salah saya mengaku dan saya minta maaf, tapi mereka tidak akan buat begitu,” katanya.

:Zaid berkata, beliau percaya rakyat di Hulu Selangor boleh menilai manusia sepertinya, sama ada layak atau tidak menjadi wakil rakyat.

Membela Zaid kelmarin, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Zaid sudah berubah sejak kembali dari Makkah.

Beliau berkata, dakwaan beberapa blog bahawa Zaid kerap bersosial dan kaki minum adalah tidak adil kerana ia berbentuk tuduhan semata-mata, tanpa memberinya ruang membuat penjelasan.

Pengarah Pilihan Raya PR Parlimen Hulu Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga Menteri Besar Selangor, juga mempertahankan Zaid.

Beliau berkata, kelmarin isu minum arak tidak perlu diperbesarkan dan menjelaskan ada dalam kalangan pemimpin dahulu yang peminum.

"Zaid sekarang sudah berubah dan kita nampak perubahannya," katanya.

-SinarHarian-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan