Pilihan Raya Kecil Utusan pemfitnah dan racun buat rakyat

Roslan SMS

Pagi tadi saya ketika meniliti akhbar-akhbar tempatan (yang saya beli biasanya The Star dan Sinar sahaja) saya perhatikan Sinar harian mengeluarkan kenyataan saya berhubung PRK Hulu Selangor. Tajuknya :

PAS optimis pengundi pilih Zaid

Kira-kira jam 9.00 tadi saya menerima panggilan dari seorang rakan lama dari Ijok. Tanyanya betul tak kenyataan saya di Utusan Malaysia? Saya dilaporkan menyebut jentera PR Hulu Selangor lemah!

Saya berterima kasih kepada rakan saya itu kerana membawa ke pengetahuan saya namun saya menyebut lebih baik beliau membaca Sinar Harian hari ini, itu yang sebenarnya.

Lalu terpaksalah saya singgah membeli akhbar Utusan yang tidak pernah pun saya beli kecuali membacanya di internet.

Berita yang disebutkan kawan saya itu berada di muka 6 akhbar berkenaan di sudut bawah kanan, kecil sahaja tetapi tajuknya:

PAS akui jentera PR Hulu Selangor lesu

Memang seorang wartawan “junior” dari Utusan ada menelefon saya pagi semalam sejurus saya pulang menziarahi Ketua Pengarang Harakah Sdr. Lutfi Othman bersama Dato Dr Hasan Ali di Ampang.

Wartawan itu memang saya kenali, seorang anak muda yang peramah dan baik. Beliau sekadar mahukan “confirmation” dari saya tentang khabar angin bahawa jentera PR lesu antara sebabnya kerana boikot dari jentera PAS, faktor calon dan lain-lain. Saya menafikan.Malah saya sebut jentera PAS di Hulu Selangor tidak ada bezanya dengan jentera PAS di kawasan-kawasan pilihanraya kecil yang lain.

Cuma saya menjelaskan masalah utama di Hulu Selangor adalah factor geografi. Kerana kawasan parlimen ini terlalu luas, seluas negeri Melaka maka kerana itu jentera PR kelihatan tidak padat contohnya seperti di Bukit Gantang. Hakikatnya ia ada dan kuat tetapi tidak tertumpu di suatu kawasan atau peti undi sebaliknya tersebar luas dari Batang Kali ke Kalumpang, Serendah, Kuala Kubu, Rasa, Hulu Yam, Sungai Tenggi, Kerling dan Hulu Bernam.

Saya tidak pernah menyatakan jentera PR lemah!

Apa pun saya telah memaklumkan pimpinan Pakatan Rakyat berhubung berita palsu itu. Saya hormati wartawan Utusan itu, saya tahu bukan beliau yang memilih tajuk demikian.Tetapi itulah nilai atau maruah akhbar Utusan. Akhbar yang tersohor dan disanjung diwaktu awalnya dahulu terutama di zaman Said Zahari tetapi hari ini murah dan longgar serta melacurkan diri untuk kepentingan politik puak pincang dan dibenci rakyat.

Mungkin ada yang bertanya mengapa layan Utusan?

Mereka mungkin tidak professional tetapi kita punya maruah dan harga diri. Kita ditarbiah menghormati semua pihak termasuk musuh. Boleh sahaja saya pekakkan telinga dan enggan melayan, tetapi pengalaman sebagai Setiausaha Akhbar dan seorang ahli politik serta tarbiah Islami yang ada mendorong saya untuk berkata yang benar, layan secara hormat tetapi tidak sekali-kali menjual maruah.

Yang penting kita punya kurang 48 jam bekerja di Hulu Selangor. Yang penting rakyat perlu terus diyakinkan yang hanya Pakatan Rakyat pilihan tunggal terbaik buat mereka. Terima kasih Utusan kerana mengesahkan kualiti anda sebagai akhbar murahan, bukannya penyebar fikiran rakyat tetapi pemfitnah dan racun buat rakyat.

Berikut adalah kenyataan akhbar PAS Selangor Rabu lalu:

KENYATAAN AKHBAR:
PAS SELANGOR OPTIMIS DATO ZAID MENANG AHAD INI

PAS Selangor optimis setakat ini calon Pakatan Rakyat mendahului calon BN dari sudut sokongan rakyat khasnya para pengundi di Hulu Selangor. Kerja-kerja kempen yang dilakukan secara bersepadu antara para petugas PAS, PKR dan DAP terus-menerus mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk tempatan.

Dari tinjauan didapati bahawa rekod buruk perkhidmatan wakil MIC dari Barisan Nasional sebelum pilihanraya umum 2008 lalu telah menyedarkan rakyat untuk tidak lagi memberi peluang pada BN. Ini ditambah dengan pencapaian memberangsangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ternyata menyentuh hati rakyat jelata. Dan ini memberi kesan langsung kepada harapan Dato Zaid Ibrahim hari Ahad ini lantaran rakyat selesa dengan kesungguhan dan keikhlasan pimpinan dan kerajaan PR Selangor sejak berkuasa Mac 2008 lalu sehinggalah hari ini.

PAS Selangor menjangkakan jumlah para petugas PAS khasnya dari seluruh negara akan terus meningkat menjelang fasa terakhir tempuh berkempen dan pada hari mengundi bagi menyokong dan membantu jentera PKR.

PAS Selangor mengambil kesempatan menyeru seluruh pengundi berdaftar di Hulu Selangor agar keluar beramai-ramai pada Hari Mengundi Ahad ini dan memberikan undi kepada calon PKR yang mewakili Pakatan Rakyat bagi memberikan isyarat kesungguhan rakyat mahu melihat PR terus memerintah negeri Selangor ini. Begitu juga pada para pengundi pos yang berjumlah 799 orang itu, PAS Selangor mengharapkan agar mereka nanti akan berani menyalurkan suara melalui undi masing-masing demi membina sebuah Negeri Selangor yang maju, bersih dan berkebajikan buat semua.


DIKELUARKAN OLEH:
ROSLAN SHAHIR BIN DATUK MOHD SHAHIR
KETUA PENERANGAN PAS SELANGOR
BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR

21 April, 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan