PKR dakwa PM beli undi tawar Felda Sungai Buaya RM50.000

KUALA KUBU BARU, 24 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa Datuk Seri Najib Razak, yang sepatutnya tangani masalah rasuah, mengamalkan perbuatan membeli undi dengan menawarkan bayaran RM50,000 kepada bekas peneroka Felda Sungai Buaya di sini, semalam.

“Perdana Menteri sepatutnya melawan rasuah membeli undi tetapi sebaliknya berlaku memberi rasuah semalam dalam bentuk wang tunai RM1,000 untuk membeli undi,” kata Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh hari ini.

Semalam Najib berjanji akan menyelesaikan masalah 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya di sini, yang berlarutan lebih satu dekad, dengan syarat Barisan Nasional (BN) merampas kembali Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

Buat peringkat awal, Najib yang juga Menteri Kewangan menyampaikan bayaran RM50,000 kepada 100 daripada 363 peneroka Felda Sungai Buaya petang ini.

Wang RM1,000 diserahkan secara tunai manakala RM49,000 dalam bentuk draf bank.

Baki peneroka terima bayaran itu Isnin ini.

Menurut Fuziah, tindakan Najib semalam menunjukkan tindakan terdesak Umno kerana baru sekarang menunjukkan kesediaan menyelesaikan masalah bekas peneroka Felda Sungai Buaya yang berlarutan lebih sedekad.

“Kes ini berlarutan sejak 1994, kenapa baru semalam hendak selesaikan.

“Tiba-tiba dua hari lagi sebelum mengundi beri wang tunai RM1,000 dan baki dalam simpanan Tabung Haji,” katanya di sini hari ini.

“Ini adalah satu ugutan dan umpan untuk membeli undi,” kata Ahli Parlimen Kuantan ini.

Kata beliau, pihaknya difahamkan kalau menang baru akan membuat bayaran ke dalam akaun Tabung Haji.

“Mereka ditekan dan didesak... ini satu tindakan tidak beretika,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan