Selepas 24 jam kempen, laluan sukar buat BN

G. Manimaran

HULU SELANGOR, 18 April: “Selamat pagi semua. (Saya) akan bersama YB Lim Kit Siang di KKB (Kuala Kubu Baru) untuk berjumpa dengan rakyat,” demikian mesej calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim menerusi laman twitter pagi tadi selepas mengharungi hari pertama kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Dalam mesejnya tengah malam tadi Zaid berkata, “selamat malam. Kita terus berjuang untuk rakyat Hulu Selangor pagi esok.” Persinggahan terakhir beliau pada hari pertama kempen ialah Pekan Kerling.

Bagi Zaid, ini merupakan pilihan raya pertama. Beliau pernah bertanding pilihan raya umum tahun 2004 mewakili BN.

Bekas ahli Umno ini terus berhadapan dengan serangan peribadi, isu yang digunakan sebagai bahan kempen di Hulu Selangor sepanjang hari pertama berkempen. Sama ada ia digunakan secara langsung ataupun sebaliknya Zaid tetap menjadi serangan peribadi semalam.

Yang pastinya serangan bunuh karektor ini akan berterusan apabila kempen menghampiri hari mengundi.

Kira-kira lapan jam sebelum mesej twitter Zaid, calon Barisan Nasional (BN) P. Kamalanathan memberitahu The Malaysian Insider, beliau yakin akan merampas balik kerusi yang jatuh ke genggaman Pakatan Rakyat dua tahun lalu.

“Ya benar, saya merasakan begitu. Apabila saya memfailkan kertas penamaan calon pagi tadi (semalam) dan bercakap dengan Zaid, saya berkata, ‘saya berada gelanggang untuk beri saingan sengit,” kata Kamalanathan yang juga penyelaras Putera MIC.

“Bagaimanapun, selepas melepasi pusingan pertama kempen saya, saya memberitahu anda, saya akan menang,” katanya selepas persinggahan terakhir di Kg. Sungai Buaya tengah malam tadi.

Kamalathan dan Zaid bersaing bersama dua calon Bebas V.S. Chandran dan Johan Mat Diah.

Kempen hari pertama mereka juga menyaksikan Chandran dan Johan telah masing-masing dipecat oleh MIC dan Umno kerana menentang calon parti mereka. Mereka juga belum memulakan kempen agresif dan selaku calon Bebas mereka dijangka mengambil lebih banyak masa untuk mendekati pengundi.

Bagaimanapun satu kelebihan pada Chandran ialah beliau penduduk Hulu Selangor dan pernah rapat dengan Palanivel selaku Timbalan Ketua MIC Hulu Selangor.

Seperti lazimnya, rata-rata sepanjang 24 jam pertama kempen pilihan raya kecil ini masih dingin dengan calon-calon lebih banyak turun untuk memperkenalkan diri masing-masing tanpa kempen besar-besaran.

Tumpuan hari pertama mereka lebih memfokus kepada usaha mendekati pengundi-pengundi. Jumlah kawasan yang mereka kunjungi dianggarkan tidak melebihi lima selepas separuh hari dihabiskan dengan proses penamaan calon.

Kesemua calon yang bertanding merupakan muka baru walaupun sudah agak lama berkecimpung dalam bidang politik. Pengalaman berpolitik calon-calon yang bertanding antara 15 hingga 30 tahun.

Tetapi, mengambil kira keluasan kawasan Hulu Selangor yang sukar untuk dikunjungi sepenuhnya oleh calon individu melainkan disokong oleh jentera yang kuat, calon-calon dari luar kelihatan akan berhadapan dengan laluan sukar.

Analisis awal persaingan dilihat cukup sengit antara Kamalanathan dan Zaid.

Di peringkat nasional kedua-dua Zaid dan Kamalanathan bukan muka asing. Zaid merupakan bekas menteri persekutuan.

Cuti mingguan Ahad hari ini — satu-satunya hari Ahad dalam tempoh berkempen — dijangka akan digunakan dengan sebaik mungkin oleh jentera pilihan raya calon-calon yang bertanding.

Sebagaimana lazimnya dapat dilihat, jentera BN menurunkan pemimpin-pemimpin kerajaan pusat dan 13 parti komponennya.

Di pihak Zaid, Pakatan Rakyat meletakkan keyakinan tinggi untuk mengekalkan kerusi Hulu Selangor dengan beberapa faktor.

Bahagian Hulu Selangor mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos. Seramai 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, kaum Melayu merupakan pengundi majority dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16.964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.

Petang semalam, Zaid mengadakan pertemuan dengan masyarakat Cina di Kuala Kubu Baru. Pakatan Rakyat yakin bahawa sebahagian besar undi masyarakat Cina akan di pihak mereka.

Malah mengambil kira persaingan empat penjuru dengan dua daripada mereka bertanding sebagai calon Bebas, PKR dan Pakatan Rakyat yakin akan memperoleh undi bonus.

PKR melihat calon Bebas ini akan menarik undi daripada ahli-ahli Umno dan MIC manakala sokongan undi asas PKR dan Pakatan Rakyat akan kekal di pihak mereka.

Ceramah berkelompok menyaksikan isu-isu nasional semasa, termasuk yang terbaru seperti APCO Worldwide menjadi perhatian dalam kempen hari pertama.

Mengambil kira keyakinan ditonjolkan Kamalanathan, calon BN dijangka memperoleh sokongan tegar pengundi-pengundi Melayu yang terus-menerus mengundi sejak lima dekad lalu. Antara mereka ialah pengundi kawasan Kampung Sungai Buaya yang menjadi persinggahan terakhir Kamalanathan tengah malam tadi.

Selepas 24 jam melalui kempen, Kamalanathan masih berhadapan dengan sentimen dingin sebahagian besar pengundi-pengundi kuat BN yang tidak pernah ketinggalan daripada mengundi Palanivel sejak 1990. Selepas hari pertama kempen, Kamalanathan dan jentera pilihan raya BN dilihat perlu menggunakan baki tujuh hari ini untuk mendapatkan balik keyakinan mereka.

Tempoh berkempen akan berakhir tengah malam Sabtu ini.

Pengundi-pengundi masyarakat India yang ditemui di kawasan Batang Kali memberitahu The Malaysian Insider, mereka tidak akan menyokong calon BN.

“Kami sudah membuat keputusan. Kali ini undi kami akan beralih kepada satu lagi pihak,” katanya sambil mengakui Datuk Palanivel juga ada kelemahan dan melakukan kesilapan ketika menjadi wakil rakyat.

“Siapa Kamalanathan. Kami tak kenal walaupun dia dari MIC,” kata pengundi ‘veteran’ ini.

Selain melahirkan kekecewaan selepas Datuk G. Palanivel tidak diturunkan, mereka menganggap bahawa BN tidak harus membawa calon luar.

Kumpulan penyokong Palanivel ini masih percaya bahawa BN seharusnya meletakkan Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan sebagai calon ganti, bukannya Kamalanathan.

Sentimen ini dikongsi oleh sebahagian pengundi dari kawasan Taman Wawasan di Batang Kali. Seorang penduduk taman itu memberitahu sebahagian pengundi masyarakat India dari kawasan Taman Teratai, Serendah juga melahirkan sokongan untuk Pakatan Rakyat.

Oleh kerana Kamalanathan hanya diperkenalkan ke penduduk Hulu Selangor dua hari sebelum penamaan calon kekurangan itu memerlukan masa untuk meyakinkan 64,500 pengundi Hulu Selangor menjelang hari penentuan Ahad ini.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan