Tegur jiran buang sampah: Lelaki mati dibelasah

Seorang lelaki mati dibelasah dengan kayu besbol oleh jirannya sendiri hanya kerana marah dengan perbuatan lelaki itu yang menegur perbuatan jirannya yang membuang plastik mengandungi sampah di hadapan rumahnya di Flat Sri Sentul, Bandar Baru Sentul awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata lelaki yang dikenali sebagai Chung Sin, 51, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas dihentak dengan kayu besbol dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu.

Beliau berkata, ia bermula dengan perbalahan Chung Sin dengan seorang jirannya yang memuncak sehingga jirannya yang bekerja sebagai pemandu lori itu masuk ke rumah dan mengambil kayu besbol.

"Chung Sin pada mulanya menegur jirannya yang berusia 51 tahun itu kerana membuang sampah di hadapan rumahnya namun suspek terus berang dan memarahi Chung Sin.

"Apabila perbalahan mereka menjadi bertambah panas, suspek kemudiannya masuk ke dalam rumah untuk mengambil kayu besbol, dan memukul Chung Sin hingga dia cedera parah," katanya kepada pemberita di Dataran Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Cheras, di Kuala Lumpur hari ini.

Ku berkata, Chung Sin yang dikatakan menggunakan sebatang besi untuk mempertahankan diri terus tersungkur dan mati di tempat kejadian sebaik sahaja kayu besbol itu mengenai kepalanya.

"Chung Sin yang tidak mempunyai pekerjaan itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) oleh anak saudaranya dan jiran lain, namun beliau disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu polis menahan seorang suspek bersama anak lelakinya yang berumur 23 tahun di sebuah rumah di sini bagi membantu siasatan.

Mayat Chung Sin kini di HKL untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Sekyen 302 Akta Kanun Keseksaan, berkaitan kes bunuh.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan