Umno/BN takut poster gergasi Teoh Beng Hock

Dzulfikar Mashoor
HULU SELANGOR, 23 April:
Takut ‘mood’ pengundi Cina pergi kepada Pakatan Rakyat, beberapa pemuda yang mendakwa diri sebagai pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diarahkan untuk menurunkan sehelai kain rentang gergasi mendiang Teoh Beng Hock di Kuala Kubu Baru menuju Batang Kali.

Sejurus kain rentang tersebut diturunkan, Lee Kai Loon, Ketua Penerangan AMK meminta kumpulan terbabit menjelaskan atas arahan siapa gambar gergasi mendiang Beng Hock tersebut diturunkan.

Mewakili kumpulan terbabit, Saiful Rizza berkata, beliau mendapat arahan rasmi daripada Pegawai Daerah (DO) Nor Hisham Ahmad Dahlan untuk menurunkan gambar gergasi tersebut.

Namun, beliau gagal memberikan nombor telefon Nor Hisham tersebut apabila segelintir orang tempatan berbangsa Cina mendesak beliau untuk bercakap sendiri dengan pegawai daerah tersebut.

Tidak cukup dengan itu, beliau turut dilihat berkali-kali menafikan bahawa kumpulannya itu sebenarnya membantu secara tidak langsung jentera Umno/BN di Hulu Selangor.

Suasana tiba-tiba menjadi kecoh apabila rakan-rakan Saiful bertindak mahu merampas kain rentang gergasi yang sedang dilipat oleh beberapa penduduk tempatan terbabit.

Melihat kejadian itu, Kai Loon sekali lagi tampil mempersoal kewajaran mereka menurunkan gambar Beng Hock.

“Mengapa takut dengan gambar Beng Hock? Kawan saya ini sudah mati dibunuh.

“Kenapa perlu takut dengannya? ” beliau bertanya sambil diperhati oleh Tuan Wai, pegawai polis.

Menurut Saiful, kain rentang tersebut berunsur provokasi serta tiada kaitan dengan calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, iaitu Datuk Zaid Ibrahim (Pakatan Rakyat) dan P. Kamalanathan (MIC).

Dakwa Kai Loon lagi, alasan yang diberikan Reza itu adalah tidak munasabah kerana gambar mendiang Beng Hock hanya satu saja di situ.

Sedangkan, menurut Kai Loon, gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh didapati di sepanjang jalan di Parlimen Hulu Selangor, walaupun kedua-dua pemimpin BN tersebut bukanlah calon di P.094.

Tambah Kai Loon lagi, gambar gergasi itu dinaikkan oleh orang tempatan yang mungkin tidak berpuas hati dengan inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis sendiri ketika menyiasat kes kematian misteri mendiang Teoh sebelum ini.

Mendengar hujah Kai Loon, Saiful bersama empat pegawai yang lain membatalkan niat untuk merampas kain rentang gergasi tersebut.

Mereka kemudiannya meninggalkan tempat kejadian tanpa membuktikan bahawa tindakan mereka menurunkan kain rentang tersebut adalah atas arahan rasmi pegawai daerah.

Seorang warga emas, Yap Ah Peng, 56, yang sejak dari awal menghalang kumpulan terbabit menurunkan gambar gergasi mendiang Teoh memberitahu Harakahdaily bahawa beliau telahpun menasihat kumpulan terbabit supaya tidak menurunkan gambar gergasi Teoh.

“Ini orang Cina punya agama, kalau satu orang sudah mati, dia punya semangat tidak boleh dikenang.

“Maka, orang awam tidak boleh ganggu ganggi (gambar) dia sebab itu kita sudah memberi amaran kepada dia supaya jangan turun gambar kita naikkan,” ujarnya.

Seorang penduduk tempatan, Ah Sang yang lain pula memberitahu Harakahdaily bahawa tulisan Cina pada gambar gergasi Beng Hock tersebut bukanlah berunsur provokasi.

“Tulisan itu adalah ‘Berilah keadilan kepada Teoh Beng Hock’ dan ‘Siapa dia pembunuh sebenar mendiang Teoh’,” ujarnya.

Ketua AMK Selangor, Khairul Anuar Zainuddin dalam suatu kenyataan media yang lain turut bersetuju dengan beberapa pertikaian oleh penduduk terbabit.

“Gambar ini bukan PKR yang naikkan, bukan BN yang naikkan, kalau selepas ini rakyat nak naikkan gambar (mendiang) Altantuya (sebagai) mesej protes pada pihak tertentu sekalipun, baik SPR, BN dan Pakatan Rakyat tidak boleh halang. Ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kali ini, ia mungkin protes pihak tertentu saja,” jelas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan