Zarina: ‘Saya tak sangka suami sanggup simbah cuka’

KUANTAN, 9 April: “Saya tak sangka suami sanggup berbuat demikian,” kata Zarina Wahab, 40, yang melecur di muka akibat disimbah cuka getah yang dikatakan dilakukan sendiri oleh suaminya.

Namun beliau pasrah dengan kejadian itu.

“Berjalan pun tidak berapa elok lagi, tapi masih boleh bangun dan berjalan,” katanya.

Mencerita peristiwa tersebut, beliau berkata beliau tidak menyangka akan disimbah cuka getah.

“Saya tidak sempat mengelakkan diri dan cuka getah itu terus kena ke bahagian kiri muka saya. Saya kemudian pergi ke bilik air dan menyimbah air paip ke muka saya ... agak pedih,” katanya kepada ketika ditemui Bernama di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini hari ini.

“Tekanan darah saya pun tinggi dan saya juga perlu menerima rawatan susulan selama sebulan untuk proses mencuci kulit supaya kembali seperti sedia kala,” katanya sugul.

Laporan semalam menyebut seorang peneroka yang berang selepas isterinya menolak untuk melakukan hubungan seks, bertindak menyimbah cuka getah ke muka dan tubuh isterinya itu.

Dalam kejadian 2 pagi itu, lelaki berusia 47 tahun tersebut dikatakan baru sahaja pulang ke rumahnya di Felda Bukit Sagu 2, Kuantan selepas dipercayai keluar bermain judi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supt Zulkifli Taha dipetik sebagai berkata suspek masuk ke bilik tidur dan mengejut isterinya yang sedang tidur untuk mengadakan hubungan seks.

Suami mangsa berang dan bertindak menyimbah cuka getah selepas ajakannya itu ditolak.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan