2,000 Tan Metrik Minyak Tumpah Akibat Pelanggaran Kapal


Kejadian pelanggaran antara kapal tangki MT Bunga Kelanga 3 dengan kapal MV Waily di Tanjung Stapa, Johor Bahru semalam telah mengakibat tumpahan sebanyak 2,000 tan metrik minyak.

Tumpahan itu setelah berlaku koyakan sepanjang 10 meter pada MT Bunga Kelanga manakala MV Waily hanya mengalami kerosakan kecil.

Ia menyamai 14,660 tong minyak cukup untuk memenuhkan kolam renang bersaiz olimpik.
Bagaimanapun, tumpahan minyak akibat pelanggaran kapal di Tanjung Stapa, perairan Pengerang kira-kira pukul 6.10 pagi tadi dijangka tidak akan memasuki perairan Malaysia dan menjejaskan pantai.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dalam satu kenyataan di sini berkata, perkara itu berdasarkan tiupan arah angin ke barat daya dengan kelajuan 20 hingga 30km sejam dan keadaan air laut yang surut mulai pukul 3.25 petang semalam.

"Pihak AET Tanker Holding Sdn Bhd, anak syarikat MISC Bhd yang mengendalikan MT Bunga Kelana 3 telah memasang "boom" di sekeliling kapal dan Petroleum Industry of Malaysia Mutual Aid Group telah dilantik bagi menghadapi kemungkinan tumpahan minyak merebak ke perairan Pengerang," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun JAS Johor dengan kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Unit Udara Polis dan Jabatan Laut Wilayah Selatan akan terus memantau keadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Ketika kejadian, MT Bunga Kelana 3 membawa 63,054 tan metrik 'light crude oil' milik Petronas dari Bintulu ke kilang penapis Petronas di Melaka, manakala kapal MV Waily membawa kargo bijih besi dan sedang dalam pelayaran dari India ke Hong Kong.

Bunga Kelana 3 didaftarkan di Pelabuhan Klang manakala MV Waily berdaftar di Kingstown, Saint Vincent and The Grenadines.

APMM yang menerima maklumat mengenai kejadian tiba di tempat kejadian kira-kira jam 10.27 pagi untuk menyelamatkan 50 anak-anak kapal berada di atas kedua-dua kapal tersebut yang terdiri daripada warga Malaysia, India, Pakistan, Indonesia, China dan Filipina.

Kesemua anak-anak kapal berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan