Anggota polis didapati bersalah merogol dan memeras

SEREMBAN: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal bukan saja terpaksa akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi, di sini, semalam yang mengekalkan hukuman penjara dan sebatan dikenakan Mahkamah Sesyen sebelum ini atas tuduhan mengugut dan merogol seorang wanita warga Indonesia tiga tahun lalu, malah hukuman penjaranya juga ditambah.

Lebih malang apabila mahkamah membuat keputusan itu semalam, selepas meneliti rayuan pihak pendakwaan yang menganggap kes membabitkan Mohd Khairul Nizam Abd Aziz, 36, amat serius kerana membabitkan salah guna kuasa.


Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin dalam penghakimannya berkata, tertuduh adalah anggota polis dan diberi amanah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjaga keamanan serta perlindungan kepada masyarakat.


“Namun, dalam kes ini, tertuduh melakukan pecah amanah dan menyebabkan imej pasukan polis tercalar bukan saja di negara ini, malah di peringkat antarabangsa, dan lebih menyedihkan apabila perbuatan itu dilakukan ketika tertuduh memakai pakaian seragam pasukan.


“Selain itu, mangsa warganegara Indonesia yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki halal,” katanya.


Bagi pertuduhan pertama, Mohd Khairul didakwa melakukan pemerasan terhadap wanita berusia 31 tahun itu supaya menyerahkan wang tunai RM500 agar tidak ditangkap kerana pasportnya sudah tamat tempoh di sebuah tokong di Jalan Kelawang ke Pertang kira-kira jam 10.30 pagi pada 21 Oktober 2007.


Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksyen berkenaan.


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa di bilik bernombor B205, Hotel Sri Kelawang antara jam 12.30 tengah hari hingga 1 tengah hari pada hari sama dan dalam pertuduhan ketiga, tertuduh sekali lagi merogol mangsa di tempat sama antara jam 2 petang hingga 2.30 petang, hari sama.


Pada 12 November 2009, Mahkamah Sesyen, di sini, menjatuhkan hukuman iaitu masing-masing penjara tiga tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan pertama, penjara lapan tahun dan lima sebatan (pertuduhan kedua), dan penjara 10 tahun penjara dan lima sebatan (pertuduhan ketiga) Ahmad Nasfy bagaimanapun mengekalkan hukuman bagi pertuduhan pertama manakala pertuduhan kedua dan ketiga ditambah masing-masing daripada lapan tahun serta 10 tahun kepada 11 tahun bersama hukuman lima sebatan yang dikekalkan.

-hmetro-

2 ulasan:

  1. Hambek ko polis!!!Pdn ngn muke!!Hrpkan pagar,pagar lak mkn padi..Ptuiihhh!!

    BalasPadam