SYAHRIL A. KADIR
SEWAKTU bertugas sebagai wartawan jenayah dulu, saya sering juga menyertai pertandingan menembak yang dianjurkan oleh beberapa agensi keselamatan negara terutama oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Entah di mana silap saya, selalunya daripada 10 biji butir peluru hidup yang dibekalkan penganjur, jarang sangat tembakan saya mengenai sasaran. Adakalanya hanya dua atau tiga butir saja yang mengenai target, yang lain tu entah ke mana!
Selalunya sebelum pertandingan dimulakan, jurulatih bertugas akan menerangkan kepada kami tentang langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil perhatian.Masih segar diingatan bagaimana saya teruk dimarahi seorang anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) hanya kerana saya terleka menghalakan muncung rifel automatik Styer ke arah orang ramai sewaktu dihantar menyertai pertandingan menembak di atas sebuah kapal TLDM di Lumut, Perak beberapa tahun lalu.
Sejak pada itu saya tidak pernah ambil mudah lagi bila menyertai mana-mana pertandingan menembak. Tak sanggup lagi dimarah 'buta-buta' seperti mana kejadian di Lumut tempoh hari.
Lebih pada itu, saya tidak sanggup melihat berlakunya kemalangan hanya kerana kecuaian saya mengendalikan senjata.
Apa yang saya nak kongsi di sini, hampir kesemua pertandingan menembak yang saya sertai, para hakim akan terlebih dahulu mengingatkan kami bahawa SENJATA ITU BERHANTU.
Pada mulanya saya agak keliru juga dengan kata-kata itu, akhirnya saya sedar bahawa apa yang mereka maksudkan ialah, jangan ambil mudah tentang keselamatan setiap kali memegang senjata kerana sedikit kesilapan maknanya maut menanti kita!
Sebenarnya tujuan saya menulis artikel ini bila mengenangkan dua kejadian tembak yang hangat diperdebatkan sejak akhir-akhir ini, iaitu kes Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak anggota peronda di Shah Alam pada 26 April lalu dan yang terbaru adik Mohd Azizi yang parah setelah ditembak di Jalan Seremban-Jelebu.
Saya tidak bermaksud untuk mencampuri siasatan kedua-dua kes itu tetapi yang pasti, anggota-anggota polis terlibat dikatakan hanya melepaskan tembakan amaran tanpa menyedari tembakan mereka itu telah menyebabkan kecederaan termasuk kematian salah seorang mangsa.
Betullah lirik lagu Sanisah Huri yang berjudul Si Baju Hijau..." peluru tak bermata, harus waspada "
Bercakap pasal peluru, dalam satu artikel yang saya baca mengenainya, tahap kemusnahan yang dilakukan oleh sebutir anak peluru terhadap sasaran sebenarnya bergantung kepada beberapa faktor khusus.
Ini termasuklah jisim, bentuk, komposisi dan kederasan anak peluru apabila ia menghentam sasaran.
Selain faktor fizikal anak peluru, lokasi impak, halatuju peluru sebaik ia memasuki tubuh individu dan sifat pergerakan anak peluru itu di dalam tubuh manusia selain dari jumlah tenaga yang dipindahkan dari anak peluru kepada sasaran sebaik impak berlaku.
Secara amnya anak peluru berkaliber besar dengan kelajuan tinggi yang berubah bentuk fizikal menjadi lebih besar atau berpusing secara menegak (tumble) akan mengakibatkan kecederaan yang lebih teruk kepada mangsa tembakan.
Rekabentuk anak peluru turut memainkan peranan penting dalam hal ini dan keadaan ini telah menyebabkan satu deklarasi yang dikenali sebagai ‘The Hague Declaration’ ke 29 pada 1899 telah mengharamkan penggunaan sistem anak peluru yang mengembang pada bahagian muncungnya atau menjadi leper dengan mudah sebaik mengenai tubuh manusia dalam semua konflik ketenteraan antarabangsa.
Kesimpulannya di sini, dengan halaju peluru yang cukup tinggi, tidak mustahil peluru yang disasarkan ke arah tayar, akan melantun semula atau 'hinggap' ke arah lain, seperti mana ia 'hinggap' di kepala allahyarham Aminulrasyid.
Apatah lagi sekarang ini kebanyakan anggota polis yang meronda telah dibekalkan dengan pistol automatik, bukan revolver seperti dahulu.
Dulu ‘kekurangan’ pada pistol revolver yang digunakan oleh pegawai dan anggota PDRM ialah kemampuan pengisian peluru yang agak terhad pada senjata tersebut, disamping jangka masa lama yang diperlukan bagi melakukan pengisian peluru ketika terlibat dalam kejadian tembak-menembak.
Dengan beralih kepada pistol automatik, kedua-dua perkara negatif tersebut telah diatasi memandangkan kelopak pistol-pistol automatik terkini mempunyai kemampuan pengisian peluru yang jauh lebih banyak serta lebih pantas dan mudah untuk dilaksanakan.Menembak pun jadi sedap, tidak lagi seperti dulu
Tidak mustahil disebabkan 'kesedapan' ini jugalah, ada anggota polis kita yang cuai hingga gagal mengawal tembakan yang mereka lepaskan
Apapun, seperti mana orang lain, saya sangat-sangat berharap PDRM melihat dua kejadian ini dengan serius kerana nyawa bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main.
Kita boleh tubuhkan panel penyiasat, kita boleh tubuhkan suruhanjaya diraja tetapi yang mati tak mungkin dapat dihidupkan kembali.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak tembak - AJAL jawabnya!
SYAHRIL A. KADIR adalah blogger dan bekas wartawan kanan jenayah yang pernah bertugas di akhbar arus perdana serta media elektronik tanah air. Blog beliau boleh dilawati di www.syahrilkadir.wordpress.com
http://bohiem.blogspot.com/2010/05/islam-di-hina-di-sibu-umno-dalanmg-nya.html jom saksikan ini!
BalasPadam