DHPP: Umno semakin 'sawan'

Ustaz Zolkharnain Abidin
Apabila PAS menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), berbunyi suara sumbang kononnya PAS tidak mempercayai DAP dan PKR untuk mengawal orang bukan Islam yang menyokong PR. Niat suara sumbang itu ialah untuk memecahbelahkan PR. Agendanya ialah, biar PAS, DAP dan PKR ‘bertokak’ kerana isu bukan Islam ini.

Orang bukan Islam bebas untuk memilih sama ada PKR, DAP atau PAS. Amalan demokrasi membenarkan dan memberikan hak kepada mereka untuk memilih mana-mana parti sama seperti mereka berhak untuk memilih MCA atau MIC.

Selepas ini, PAS, DAP dan PKR akan menjadi parti pelbagai agama dan budaya. Sepertimana ada Melayu dan Islam dalam DAP, maka begitu juga akan ada Cina, India dan bukan Islam dalam PAS. PKR memang semenjak awal membuka keahlian kepada semua kaum dan agama.

PAS, DAP dan PKR benar-benar memenuhi aspirasi rakyat Malaysia yang tidak ingin lagi hidup dalam ‘longkang perkauman hanyir’ bikinan dan kebanggaan BN untuk sekian lama.

Selepas ini hanya komponen BN sahaja yang akan kekal dengan perkauman hanyir itu. Umno dengan Melayu-nya, demikian MCA dan MIC dengan label perkauman yang tertera nyata pada nama parti masing-masing.

Mampukah komponen BN, terutamanya Umno untuk terus bertahan dengan ‘kehanyiran’ perkauman Melayu-nya itu?

Inilah musykilah besar terkini Umno. Selepas parti itu berhadapan dengan kemerosotan sokongan Melayu, orang bukan Melayu yang dikatakan pernah menjadi tongkat kanan dan kiri Umno tidak lagi bersedia terus menongkat Umno. Jika Umno kehilangan kedua-dua tongkat ini, BN pasti tumbang dalam PRU akan datang.

Tiada apa lagi yang boleh dibuat oleh Umno untuk membendung penghijrahan orang bukan Islam ke dalam PR, kecuali dengan menggambarkan komponen PR sebagai saling curiga-mencurigai antara satu sama lain.

Salah satunya ialah, gambarkan kepada umum PAS mencurigai DAP dan PKR untuk mengurustadbir penyokong bukan Islam. Inilah modal yang Umno ada setakat ini.

Bukan mustahil Umno akan berkata, PAS lebih Cina daripada DAP, PAS lebih liberal daripada PKR dengan serangan dua laras kepada PR. Satu laras dengan tujuan menanamkan keraguan orang PAS kepada PAS dalam isu dasar atau teras PAS. Satu laras lagi dengan tujuan melaga-lagakan parti-parti komponen PR, kononnya PAS merampas ahli atau penyokong mereka.

Adakah Umno akan berjaya dengan serangan ini?

Jawabnya, tidak. Orang PAS hari ini amat mengalu-alukan penubuhan DHPP. Dan, penubuhannya sebenarnya memang ditunggu-tunggu. Penubuhan DHPP menjadikan ufuk perjuangan PAS lebih luas dan melebar selaras dengan ufuk kesyumulan Islam yang menjadi dasar PAS itu.

Sebagaimana PAS tidak pernah bimbang dengan penyertaan orang-orang Islam ke dalam PKR dan DAP, demikian juga PKR dan DAP tidak akan bimbang dengan penyertaan orang-orang bukan Islam ke dalam PAS.

Menyediakan lebih banyak ruang dan peluang adalah lebih baik daripada menutupnya. Apa yang penting mereka bersama PR.

DHPP adalah merupakan cabaran baru kepada PAS. Kita memasuki daerah baru yang serba indah tetapi mencabar. Walau apa pun cabarannya, PAS mesti memasuki daerah baru ini dengan penuh keberanian. Keberanian ini menggambarkan kita semakin kuat.

Inilah kekuatan kita dan inilah kelemahan Umno. Apabila Umno meuar-uar bahawa parti itu adalah Melayu totok, hari ini Umno sedang menanggung padah dan akibatnya. Parti itu hari ini tenggelam dalam kebusukan perkauman bikinannya itu.

Umno hilang kebergantungan kepada orang Melayu kerana orang Melayu sudah tahu bahawa Umno hanya memperalatkan Melayu untuk tembolok pemimpinnya. Hilang kebergantungan kepada Cina dan India, kerana kedua-dua kaum itu juga sedar mereka diperalatkan oleh Umno untuk menakut-nakutkan dan berkelahi dengan Melayu.

Semuanya; Melayu, Cina dan India selama 50 tahun diperalat untuk memenuhkan tembolok pemimpin Umno dengan khazanah kekayaan negara yang mereka punggah dengan kuasa.

1 ulasan:

  1. Begitu lah kalau Negara di Pimpin oleh Pemimpin yang tamak Halobah.

    BalasPadam