PAS terus beri sokongan dalam isu Palestin

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 17 Mei:
Ustaz Nasharuddin Mat Isa menegaskan bahawa PAS telah dan akan terus memberikan sokongan dalam isu Palestin pada kadar kemampuan yang dimiliki.

Beliau menyatakan demikian di dalam pertemuan dengan pemimpin utama Hamas, Khaled Misy'al di Damsyik, baru-baru ini.

Turut serta pada pertemuan itu ialah Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selaku Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS.

Menurut Timbalan Presiden PAS itu, dalam pertemuan itu, beberapa isu besar telah dibincangkan termasuklah perkembangan terkini keadaan di Palestin khasnya di Gaza.

Katanya, Khaled telah merakamkan sekali ucapan terima kasihnya mewakili Hamas dan rakyat Palestin kepada PAS dan rakyat Malaysia melalui agensi rasmi ataupun NGO yang sentiasa bersama dengan rakyat Palestin.

“Beliau amat menghargai sumbangan-sumbangan yang telah diberikan dan yang lebih penting dari itu adalah pendirian yang tidak berbelah bagi PAS dan rakyat Malaysia dalam isu isu di Palestin,” ujarnya kepada Harakahdaily, pagi ini.

Tambahnya, Khaled menjelaskan kepada ahli-ahli PAS bahawa qadiah (permasalahan) Palestin adalah keutamaan, kedua selepas kerja-kerja Islam dan parti di Malaysia yang harus diberikan tumpuan.

“Saya telah menegaskan bahawa bagi pihak PAS, kita telah dan akan terus memberikan sokongan dalam isu Palestin pada kadar kemampuan yang kita miliki,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan