Jangan perlekeh keupayaan orang Melayu

Roslan SMS
"Jangan sangka apabila seekor ayam berkokok maka ertinya hari sudah siang", demikian ulasan Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud ekoran kekalahan calon BN dalam pilihanraya kecil parlimen Sibu.

Dalam ertikata lain beliau cuba membayangkan bahawa kemenangan DAP di Sibu itu tidak akan memberi kesan atau menjejaskan pilihanraya dewan undangan negeri Sarawak yang dijangka diadakan selewat-lewatnya tahun hadapan.

Kalau Taib boleh kata begitu kerana kalah di Sibu, apa salah PR juga katakan jangan kerana baru menang Hulu Selangor, maka BN Selangor khasnya Umno mahu mengimpikan yang negeri berkenaan boleh jatuh atas riba mereka. Boleh?

Sibu timbul atas timbunan rasuah politik, peruntukkan, janji-janji pembangunan dan kehadiran segala bala tentera BN dipelabagai peringkat diketuai PM sendiri. Ada yang mengatakan BN lupa mengundang Dr Mahathir. Kalau Tun turun ke Sibu barangkali majoriti DAP berlipat kali ganda lagi!

Di Selangor Umno dan BN Selangor menjaja seluruh pelusuk kampung, kemenangan BN di Hulu Selangor petanda Umno dan BN akan bangkit kembali. Biarlah mereka berkokok begitu, hakikatnya apa alasan pun PR perlu bekerja lebih kuat dan beri tumpuan pada kawasan-kawasan luar bandar khasnya yang majoriti Melayu. (Sedang yang menang di Hulu Selangor bukan Umno tapi MIC).

Mereka lupa jika Sibu boleh dijadikan kayu pengukur, maka dengan bantuan tambahan pengundi Cina di Selangor tidak mustahil banyak lagi kerusi DUN Selangor akan gugur ketangan PR. Memang di Hulu Selangor tali hayat BN terletak pada pengundi Melayu dan India, tetapi jangan "under estimate" mereka.

Orang Melayu jangan dihina, jangan dikatakan buta politik. Mereka mungkin tersilap di Hulu Selangor, tetapi jika diberi masa dan semangat tidak mustahil mereka juga boleh seiringan dengan para pengundi Cina menolak Umno dan BN. Siapakah yang menaolak Umno dan BN di Kelantan dan Terengganu serta Kedah dan malah sebahagian kerusi DUN Selangor yang dimenangi PR jika tidak pengundi Melayu sendiri.

Saya melihat rakan-rakan pengundi Melayu/Melanau di Sibu pun sudah semakin celik walaupun majoriti masih mengundi BN. Pokoknya mereka mahu berubah juga. Kalau semangat itu ada di sana tidak mustahil kali ini ia boleh menjadi di Semenanjung.

Bayangkan jika orang Melayu meletakkan nasib mereka pada PAS dan PKR, memutuskan talian mereka dengan Umno, ditambah dengan pengundi Cina yang sudah menolak sama-sekali BN, Malaysia baru akan muncul menyinari segenap pelusuk tanahair.

Pengundi Melayu pun bijak juga cuma mereka telah lama berteduh bawah Umno,demikian juga para pegawai kerajaan termasuklah yang di Selangor sendiri. Rayu mereka agar membuat pertimbangan dengan saksama. Lihat pada akhlak, keterampilan, agama pemimpin. Lihat pada mereka yang ikhlas, bersih dan sanggup berkorban untuk rakyat.

Dikalangan masyarakat Cina mereka menolak Koh Tsu Koon, menolak Chua Soil Lek, menolak pemimpin MCA dan Gerakan, kerana mereka tidak lagi bertenaga memperjuangkan nasib dan kepentingan masyarakat Cina setelah hampir 60 tahun diberi kepercayaan dan amanah. Mereka berpaling pada Lim Guan Eng pada Ronnie pada Teresa.

Orang Melayu juga insyallah boleh begitu, tolak Najib, tolak Muhyudin, tolak Khairy gantikan dengan pimpinan PAS dan PKR yang lebih baik serba-serbi. Beri masa insyallah ia akan berlaku jua nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan