Kanak-kanak mati tergantung guna selendang

PULAU PINANG, 14 Mei: Seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun ditemui mati tergantung dalam keadaan leher terjerut dengan selendang di kipas siling dalam rumahnya, di Taman Tun Sardon di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kok Meng berkata mayat N.Kuhesri ditemui dalam bilik tidur oleh nenek kanak-kanak itu pada kira-kira pukul 8.15 malam.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku sewaktu kanak-kanak itu tinggal bersendirian dalam rumah kerana neneknya keluar ke kuil, manakala ibunya seorang pekerja kilang keluar bekerja, dan ayahnya bekerja di Singapura.

“Neneknya menjumpai mayat Kuhesri dalam keadaan tergantung di dalam bilik, yang mana leher kanak-kanak itu terjerut dengan sehelai selendang punjabi yang terbelit di kipas siling,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Katanya terdahulu Kuhesri dikatakan bermain seorang diri di luar rumahnya, sebelum dia masuk ke dalam bilik tidurnya, dan beberapa minit kemudian dia ditemui mati oleh neneknya.

Gan berkata berdasarkan bedah siasat, terdapat kesan lebam ditemui pada bahagian leher kanak-kanak itu akibat jerutan selendang tersebut.

“Kami percaya leher Kuhesri terjerut semasa dia sedang bermain sendirian, mungkin selendang itu dililit sendiri olehnya, kanak-kanak itu merupakan anak sulung daripada tiga beradik, dan difahamkan dia adalah seorang kanak-kanak yang aktif,” katanya.

Gan berkata siasatan bagi mengenal pasti punca kematian masih dijalankan dan setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

-Bernama-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan