Kematian Aminulrasyid, media perlu cermat-Gamis

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 2 Mei:
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyeru pihak media agar berhati-hati membuat laporan berhubung kes remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak polis awal minggu lalu.
Mereka dalam satu kenyataan berkata, sikap tidak cermat dan terburu-buru media membuat laporan boleh menyinggung perasaan ahli keluarga mangsa malah menambah versi cerita asal sehingga menimbulkan kekeliruan pembaca.

"Pelbagai versi berita yang dihidangkan kepada masyarakat sehinggakan mereka keliru tentang kesahihan berita di samping telah menimbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada mangsa dan keluarga.

"Janganlah hanya kerana inginkan publisiti dan berita panas sehinggakan menimbulkan perkara yang tidak baik dalam masyarakat," kata mereka.

Sehubungan itu mereka juga berpesan kepada masyarakat agar menilai berita-berita yang dibaca, dan tidak menerimanya dengan mudah.

Ini kerana, menurut pemerhatian yang dibuat mereka, banyak perbincangan tentang kes itu dalam internet khususnya sudah lari dari fakta sebenar kes.

Ada diantara mereka menokok tambah, dan tidak kurang yang menghina Allahyarham dan keluarga mangsa.

"Gamis amat sedih apabila timbulkan syak wasangka yang tidak baik kepada Allahyarham dan keluarga sehinggakan dijadikan perbincangan termasuklah di internet sama ada melalui forum-forum maya, blog, facebook dan sebagainya.

"Ada yang menambah-nambah cerita, mengutuk dan menghina Allahyarham dan keluarga," kata mereka lagi.

Selain itu mereka juga mahu kes Allahyarham adik Aminulrasyid disiasat segera, tidak seperti kes-kes lain yang mengambil masa yang lama.

"Keadilan haruslah diberikan kepada mereka yang berhak serta tindakan susulan harus diambil sekiranya ingin membersihkan imej keselamatan negara Malaysia," jelas mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan