Lagi Dakwaan Polis Tembak Sembarangan, Fail Saman RM1 Juta

KLANG, 7 MEI: Sejak tragedi Aminulrashid mendapat perhatian ramai, semakin ramai individu tampil membuat laporan polis berikutan gelagat polis yang didakwa sewenang-wenang melepas tembakan.

Kali ini, Siti Nasrinda Sumirin, 23, pula membuat pendedahan mendakwa ditembak polis di Klang Ogos tahun lalu dan menyebabkan kecederaan di pinggang manakala satu peluru mengenai tudungnya.

Sehubungan itu, beliau memfail saman RM1 juta lagi kerana mendakwa reputasinya terjejas berikutan kejadian berkenaan.

Beliau menuntut anggota polis yang menembak kepadanya dan tunang, menjalani kerja-kerja khidmat masyarakat selama dua tahun, sebagai pengajaran kepada anggota polis tidak mengulangi tabit itu.

Anggota polis yang didakwa berbuat demikian berpangkat korporal dan konstabel.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam oleh peguamnya, M Manoharan, yang juga ahli dewan undangan negeri Kota Alam Shah.

Dalam tuntutannya, Ketua Polis Daerah Klang, Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara, dua anggota polis itu dan kerajaan dinamakan sebagai defendan.

Selain tuntutan RM1 juta, tunang yang kini suaminya juga menuntut bayaran RM500,000.
-tvselangor-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan